“Saya Tak Ralat Jika Dibayangi Oleh Abang” - Syazwan Razak Terima Tawaran Berlakon Filem Bukan Sebab Syafiq Kyle

Asyikin Mayudin
September 30, 2022 07:55 MYT
Bintang baharu Syazwan Razak menegaskan kehadirannya dalam industri seni bukan atas tiket dia adik kepada pelakon terkenal iaitu Syafiq Kyle.

Malah, Syazwan memberitahu dia menerima tawaran untuk membintangi filem pertamanya berjudul Rasuk daripada pihak produksi sendiri.

“Secara jujurnya, saya dapat mengagak yang mana pasti ada pihak membuat andaian saya mendapat tawaran berlakon kerana abang saya.

“Tapi sebenarnya saya dipanggil sendiri oleh pembikin filem Rasuk yang menawarkan watak kepada saya.

“Pada mulanya saya kurang yakin, namun kepercayaan yang diberikan itu saya jadikan sebagai peluang keemasan,” katanya kepada Gempak.

Menurut Syazwan lagi, abangnya hanya mengetahui tentang tawaran itu selepas dia sudah menjalani penggambaran.

“Tiada kena mengena dengan Syafiq Kyle, malah setelah separuh jalan penggambaran, baru dia tahu saya mendapat tawaran ini.

“Cuma apabila dia tidak masuk, Angah datang set penggambaran. Lain macam auranya kerana dia lebih berpengalaman, jadi berdebar juga apabila dia datang menjenguk,” katanya.

Selain Syazwan, filem Rasuk yang diarahkan oleh James Lee dan dibintangi Alif Satar, Ikmal Amry, Elisya Sandha, Atiq Azman, Ayie Ilham dan Alicia Amin akan ditayangkan di pawagam bermula 29 September ini.

Mengulas mengenai gaya percakapan yang sama seperti Syafiq, Syazwan berkata dia tidak kisah jika diirnya dibayangi oleh abangnya yang terlebih dahulu memulakan kerjaya seni.

“Dah nama pun adik beradik, jadi rasanya tidak pelik jika cara percakapan dan nada suara kami sama. Tidak dapat buat apa, saya tidak ralat sekiranya dibayangi oleh abang saya kerana dia lebih awal berkecimpung dalam industri,” ujarnya.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.

Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!

#Syafiq Kyle #Syafiq #Syazwan #Adik Syafiq Kyle #Syafiq Syazwan #Syazwan Razak