Pengarah filem Mat Bond Malaya, Nabil Ahmad enggan membiarkan pelakon dan kru membuang masa terlalu lama di set penggambarannya.

Kata Nabil, apabila operasi produksi berjalan terlalu lama, ia akan mengganggu konsentrasi dan fokus karyawan yang terlibat.

"Sebelum ini saya banyak terbabit dengan produksi filem jadi ia mempengaruhi cara saya bekerja di lokasi penggambaran dan mengendalikan syarikat ini.

"Bagi saya tidak wajar henyak pelakon 'gila-gila' sampai penat kerana ia akan memberikan impak kepada kualiti dan momentum lakonan.

"Biasanya sukar untuk pelakon mengekalkan momentum yang sama dari awal hingga akhir filem.

"Oleh itu, saya percaya bekerja dari pagi hingga ke pagi akan membuatkan pelakon itu penat, hilang tenaga dan fokus pun lari," ujarnya.

Nabil bagaimanapun bersyukur penggambaran filemnya, Mat Bond Malaya tamat seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (1.0) dikuat kuasakan tahun lalu.

Tambah Nabil lagi, dia memperuntukkan tempoh masa tertentu kepada produksinya beroperasi dan tidak akan melanjutkan waktu bekerja.

"Kalau shooting lain mungkin mula dari pagi habis pagi esoknya, saya tidak mahu itu berlaku jadi saya akan segera habiskan shooting menjelang petang.

"Alhamdulillah, penggambaran filem ini hanya mengambil masa 25 hari dan setiap hari semua akan balik rumah selewat-lewatnya pukul 6 petang.

"Kecuali jika keadaan mendesak, saya akan meminta pelakon atau kru berada di set penggambaran," tambahnya.

Mat Bond Malaya mengisahkan seorang jejaka bernama Mat yang ingin menjadi seorang ejen perisik di M6. Dengan bantuan ibunya, dia berjaya bekerja di M6, tetapi sebagai ‘office boy’ sahaja.

Pada masa yang sama, dia mula menyukai salah seorang ejen jelita bernama Bondi. Mat telah dicabar oleh G untuk mengambil gambar bersama Bondi, namun tidak berjaya.

Disebabkan kalah dalam pertaruhan, Mat terpaksa menjadi pembantu peribadi kepada G dalam menguruskan bahagian penyamaran identiti.

Satu hari dunia telah digemparkan dengan serangan virus zombi.

Mat tiada pilihan melainkan perlu mencari penawar bagi menyelamatkan semua orang sebelum virus tersebut merebak ke seluruh dunia.

Mat Bond Malaya mula ditayangkan menerusi Astro First saluran 480 pada 20 Julai lalu.