Berita
"Saya Takut Jika Awak Hilang..."- Ajak Shiro Dedah Niat Nak Jadikan Afifah Sebagai Isterinya Sejak Umurnya 13 Tahun
Pelawak dan pengacara, Ajak Shiro mendedahkan bahawa dia sudah memasang hasrat untuk menjadikan Afifah Amin sebagai isterinya sejak dirinya masih bersekolah di tingkatan satu lagi.
Menurut Ajak atau nama sebenarnya, Mohamad Hanaffi Razak, 34, hubungan zaman 'cinta monyet' itu kemudian berakhir ke jinjang pelamin dalam tempoh 10 tahun.
"Nak dengar pasal cinta monyet? Wanita depan saya ini saya jumpa waktu umur saya 13 tahun. Waktu tu saya simpan cita-cita untuk jadikan dia suri hati saya.
"Alhamdulillah, selepas 10 tahun saya dapat halalkan hubungan. Waktu tu usia kami 23 tahun. Dia masih belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan saya bertugas di Lumut," kongsinya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Katanya lagi, dia juga mahu terus berbakti dengan isterinya itu sehingga ke akhir hayatnya.
"Insya-Allah, hanya ajal dan maut yang akan pisahkan kita, tapi selagi ada masa saya di dunia ni, saya nak berbakti pada wanita ini yang bernama isteri.
"Saya takut jika awak hilang dan saya juga tak tahu bila saya akan dijemput pulang," luahnya.
Ajak melayangkan dedikasi tersebut sempena sambutan Hari Wanita yang dirai semalam.
Hasil perkongsian hidup, pasangan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamad Jad Thaqif, 10, Mohamad Had Thaqif, 7, dan Nada Soffea, 5.
Saksikan lakonan Ajak yang pernah ditayangkan di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang!
Must-Watch Video