Berita
"Saya Terbuka Nak Bekerjasama Dengan Sesiapa, Cuma..."- Ini Kriteria Yang Sonaone Letak
Rapper terkenal, Sonaone, memberitahu bahawa dia sentiasa bersifat terbuka untuk berkolaborasi dengan mana-mana artis yang mahu bekerjasama dengannya.
Namun, Sonaone atau nama sebenarnya, Mikael Adam Mohd. Rafee Michel Lozach, 31, berkata, selain berbakat, ada beberapa kriteria yang perlu diambil kira.
"Kalau nak bekerjasama dengan saya, hubungi sahaja saya. Saya terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa. Kalau lagu anda sedap, suara anda sedap, kita boleh bekerja.
"Cuma, kalau ada perangai diva dan menyombong, agak susah nak bekerja dengan orang begitu," katanya.
Jelasnya lagi, perangai angkuh pada diri seseorang hanya akan mendatangkan aura negatif.
Justeru, dia sebolehnya mahu mengelakkan daripada bekerjasama dengan individu yang memiliki sifat seperti itu.
"Kalau boleh letak ego di luar pintu masa masuk studio dengan saya, maka, anda boleh bekerja dengan saya," katanya kepada Gempak.
Sonaone berkata demikian ketika ditemui sewaktu festival URBN. SENI yang diadakan di The Godown, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Festival tersebut merupakan salah satu usaha dalam memperkasakan bakat seni daripada dua negara, Malaysia-Singapura.
Dalam pada itu, pelantun lagu Apa Khabar itu memberitahu, dia melihat festival tersebut sebagai satu platform yang baik dalam mengeratkan lagi hubungan dua negara menerusi seni dan muzik.
Sebelum ini, Sonaone dan rapper Singapura, Alif juga pernah berkolaborasi menghasilkan album berjudul Detail.
Must-Watch Video