Penyanyi dan pelakon, Baby Shima mendedahkan dia terpaksa menolak tawaran berlakon Filem Hutang 2D kerana jadualnya yang padat.

Namun Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ahsima Ramli, 28, berkata dia akhirnya menerima pelawaan untuk membintangi filem tersebut selepas dipujuk oleh pengarahnya, Eric Floor 88.

“Saya terima pun kerana Eric yang memujuk. Jika tak memang saya tak akan berlakon disebabkan jadual yang padat.

“Sebetulnya juga memang saya tak dapat nak ambil tawaran berlakon kerana lebih selesa menyanyi.

“Itupun saya berfikir masa yang lama untuk setuju..Eric yang banyak yakinkan saya,” katanya kepada Astro Gempak.

Hutang 2D yang merupakan filem aksi komedi itu turut menyaksikan kehebatan ahli Floor 88 iaitu Ayie Elham, Eric Fuzi, Akram K, Falique Ghazali, Zai Hamzah dan Amirul Afeeq dalam bidang lakonan.

Mengulas mengenai gandingannya bersama Ayie sebagai teraju filem itu, Shima memberitahu mereka tiada masalah chemistry.

“Tak susah bergandingan dengan Ayie, mungkin sebab kami dah kerap bersama dalam beberapa projek sebelum ini. Jadi tiada masalah dalam chemistry..

“Cuma satu je… Ayie ni setiap kali shooting dengan saya dia akan buat pelbagai memek muka lawaknya bila time tengah shoot..

“Jadi saya ni kena tahan gelak je lah walaupun masa itu dalam scene tengah sedih..,” ceritanya.

Hutang 2D turut dibintangi oleh pelakon hebat lain seperti Baby Shima, Black Hanafiah, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ropie, Altimet, Wafiy Ilhan dan Coki.

Bukan itu sahaja, malah anggota lain Floor 88 iaitu Eric Fuzi turut melebarkan bakatnya dalam pengarahan filem. Beliau bersama pengarah Irwan Rauf merupakan pengarah untuk Hutang 2D.

Hutang 2D mengisahkan tentang Ayie (Ayie Elham), seorang pelukis webtoon yang kuat berangan dan bersifat pengecut. Hubungan Ayie dan ayahnya, Pak Jie (Ropie) tidak mesra, bahkan bakat melukisnya juga sering dipandang rendah oleh Pak Jie. Itu membuatkan Ayie rasa sedih dan kurang keyakinan, termasuklah memendam rasa terhadap jirannya, Shima (Baby Shima).

Sementara itu, Pak Jie banyak berhutang dan sering diganggu oleh dua orang gangster, Han (Black) dan Kit (Wafiy Ilhan). Apabila Pak Jie diserang di rumahnya, Ayie terus menyembunyikan diri.

Segalanya berubah apabila Ayie bertemu dengan Gua Mambang (Altimet) dan telah menghadiahkan sebuah ‘tablet’ ajaib.

Ayie mendapati setiap lukisannya di tablet itu akan menjadi kenyataan. Kemudian, Ayie mencipta rakan-rakan baru dengan mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa agar dapat membantunya menyelesaikan masalah hidupnya.

Saksikan filem terbitan Arie Zaharie Production bersama Knack Knack Studios ini terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 sejak 5 Ogos 2021.