"Saya Terkejut Dilamar... On The Spot Setuju!" - Khai Bahar

Kamaruddin Razal
Jun 5, 2018 15:35 MYT
Penyanyi yang sedang meningkat naik, Khai Bahar mengimbas semula memori manis sebelum berkolaborasi dengan penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Khai mendedahkan dirinya terkejut apabila menerima lamaran pihak pengurusan Siti (Tok Ti) untuk berduet dalam lagu Cinta Syurga.
"Saysa rasakan ia merupakan peluang yang sangat baik untuk saya sebagai penyanyi dan peminat Tok Ti. Tak pernah saya bayangkan untuk mendapat peluang keemasan terbabit.
"Apabila mendengar perkhabaran itu, saya rasa sangat terkejut. Saya setuju 'on the spot' dan menerima lamaran untuk berduet dengan besar hati," kata Khai.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Luluh ini juga gembira kerana dapat mengalunkan lagu berbentuk Zikir bersama Siti.
“Lagu ini menggunakan melodi lagu Comel Pipi Merah yang dinyanyikan oleh Tok Ti sebelum ini. Cuma liriknya ditukarkan kepada alunan zikir.
"Saya gembira kerana dapat menyanyikan lagu ini kerana lagu ini bukan lagu kosong. Setiap kali mengalunkannya, mereka yang mendengar akan turut berzikir dan mendapat pahala," kata Khai lagi.
Dalam perkembangan lain, Khai juga muncul dengan lagu solo ketuhanan terbaru berjudul Cahaya 114 bersempena sambutan Nuzul Al-Quran.
Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Khai
#Penyanyi #Khai Bahar #Penyanyi