Vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham akui berat hati untuk memotong rambut panjangnya demi menjayakan lakonannya dalam filem Hutang 2D.

Malah Ayie terkejut apabila mengetahui di saat akhir diminta untuk memotong rambut sehingga pendek ketika hari ketiga penggambaran.

“Sebenarnya saya minat bela rambut panjang beberapa tahun ni kerana dah puas botak ketika zaman persekolahan.

“Jadi bila diminta untuk memotong rambut selepas beberapa hari penggambaran tu saya jadi sayanglah.

“Malah terkejut bila mendapat tahu Eric sebagai pengarah bersama filem ini sengaja ‘prank’ minta saya potong rambut dan pada mulanya tak rela tapi demi komitmen lakonan saya dalam filem ini saya turutkan,” katanya kepada Gempak.

Filem yang menampilkan kesemua ahli kumpulan tersebut iaitu Ayie Elham, Eric Fuzi, Akram K, Falique Ghazali, Zai Hamzah dan Amirul Afeeq itu ditayangkan terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 5 Ogos 2021.

Mengulas mengenai wataknya yang masih menggunakan nama asalnya itu, Ayie memberitahu dia seorang tiada keyakinan diri.

“Ayie ini mempunyai impian yang besar untuk menjadi seorang pelukis webtun. Dia mulanya seorang yang kurang keyakinan diri tetapi dengan bakat yang dia ada dia cuba mengubah hidupnya.

“Malah dia mendapat satu kejaiban sehingga akhirnya dia menunjukkan kasih saying kepada ayah serta kawan-kawannya,” ceritanya.

Hutang 2D mengisahkan tentang Ayie (Ayie Elham), seorang pelukis webtoon yang kuat berangan dan bersifat pengecut. Hubungan Ayie dan ayahnya, Pak Jie (Ropie) tidak mesra, bahkan bakat melukisnya juga sering dipandang rendah oleh Pak Jie. Itu membuatkan Ayie rasa sedih dan kurang keyakinan, termasuklah memendam rasa terhadap jirannya, Shima (Baby Shima).

Sementara itu, Pak Jie banyak berhutang dan sering diganggu oleh dua orang gangster, Han (Black) dan Kit (Wafiy Ilhan). Apabila Pak Jie diserang di rumahnya, Ayie terus menyembunyikan diri. Segalanya berubah apabila Ayie bertemu dengan Gua Mambang (Altimet) dan telah menghadiahkan sebuah ‘tablet’ ajaib.

Ayie mendapati setiap lukisannya di tablet itu akan menjadi kenyataan. Kemudian, Ayie mencipta rakan-rakan baru dengan mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa agar dapat membantunya menyelesaikan masalah hidupnya.

Saksikan filem terbitan Arie Zaharie Production bersama Knack Knack Studios ini terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 5 Ogos 2021.