Bintang Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Tom mendedahkan kehidupannya sewaktu ditinggalkan suami dalam keadaan sedang hamil anak ketiga.

Berkongsi pengalaman itu, Tom atau nama lengkapnya Raja Farah Afzal Raja Ikram memberitahu dia telah melahirkan anaknya seorang diri tanpa ditemani suami.

“Masa saya tengah hamil dua bulan lagi saya dan suami sudah tidak sebumbung. Bayangkan daripada baby dalam perut itu saya bawa diri sendiri ke Langkawi.

“Sehinggalah hendak melahirkannya saya terpaksa bersalin seorang diri dan tiada siapa hendak mengazankan anak saya.

“Masa tu tak tahu nak mintak tolong siapa yang boleh azankan jadi saya pun azan sendiri. Tapi doktor tegur katanya tidak boleh kerana saya perempuan dan masih dalam keadaan tidak suci,” katanya.

Tom berkongsi perkara berkenaan dalam satu rakaman temu bual khas ketika Konsert Gegar Vaganza 9 minggu ketiga berlangsung malam Ahad.

Tambah Tom meskipun sukar untuk mengendalikan dua orang anaknya yang ketika itu bersamanya, namun dia bersyukur dapat melaluinya dengan tabah.

“Bila tiada suami susah juga nak handle seorang diri sampai orang tengok pun kasihan.

“Tapi saya sebenarnya tidak menyalahkan sesiapa. Walaupun sedang berpantang saya tetap kuat dan tidak boleh mengharapkan sesiapa,” luahnya lagi.

Bagaimanapun Tom berharap apa jua yang berlaku dia akan tetap bersama dan membesarkan anak-anaknya dengan baik.

“Kepada anak-anak Mama, Mama buat semua ini untuk kamu semua. Walaupun Mama dikecam tapi Mama akan berusaha beri yang terbaik untuk anak-anak Mama,” pesannya.

Anak sulung Tom kini dijaga sepenuhnya oleh bekas suami, sementara dua anaknya lagi bersamanya.

Selain Tom, bintang lain yang menyertai GV9 adalah Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Pat Candy, Haida Hasnan, Tomok, Asheed, Bob Yusof, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, serta kumpulan VE yang terdiri daripada Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim.

Barisan juri tetap terdiri daripada maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.

Edisi kali ini masih mengekalkan Nabil Ahmad sebagai pengacara, manakala tempat Jihan Muse diambil alih penyanyi dan pelakon popular, Elly Mazlein.

GV9 akan berlangsung selama sepuluh (10) minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 18 September, setiap Ahad, jam 9.00 malam, ditayangkan eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.

Dapatkan Pek Premium 1 Astro hanya RM99.99 sebulan untuk enam bulan pertama secara online di astro.com.my untuk menikmati rancangan realiti ini di Astro.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)