Penyanyi era 80-an, Ramlah Ram akui pernah mengalami kejadian hilang suara sebelum membuat persembahan.

Kata Ramlah ketika itu dia berasa panik kerana suaranya hilang secara tiba-tiba.

"Banyak kali sebenarnya terjadi dekat saya masalah hilang suara ini terutamanya semasa konsert skala besar.

"Bayangkan semalam macam biasa, hari ini saya bangun hilang suara. Menangis saya bila mengenangkan peminat yang dah labur duit untuk beli tiket.

"Dengan keadaan diri yang sudah panik, saya terus hubungi ibu untuk mengadu di samping mohon doa supaya segalanya dipermudahkan.

"Saya terpaksa pergi ke klinik untuk suntik bagi mendapatkan suara kembali. Bukan la serta merta suara saya okey kerana ia akan mengambil masa," katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, pelantun lagu Kau Kunci Cintaku itu turut akui dia sangat mementingkan penjagaan kesihatan sejak bermulanya karier sebagai seorang penghibur.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana masih memberi bakat sama seperti dahulu.

"Dari segi pemakanan, saya sangat menitikberatkan memandangkan suara adalah aset penting.

"Sejak dulu lagi saya memang tidak mengamalkan minum air berais dan berkarbonat. Saya selalu minum air kosong panas atau suam saja.

"Saya pernah juga tanya dengan penyanyi senior lain apa tips yang membuatkan mereka kekal sihat.

"Kalau jumpa, saya akan perhati apa yang mereka makan. Saya cuba ikut cara penjagaan mereka.

"Alhamdulillah sampai sekarang saya masih menggunakan 'key' dan 'minus one' sama yang tahun 80-an," katanya lagi.