Hiburan
"Saya Terpaksa Tulis Supaya..." - Abby Abadi Ditipu Bekas Pekerja
Pelakon Abby Abadi mendedahkan dia ditipu oleh seorang bekas pekerja yang dikenali sebagai Reena.
Menurut Abby, itu bukan kali pertama bekas pekerjanya itu menipu dan memburukkan namanya kepada orang lain.
Perkara itu dikongsi menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan umum.
"Dipendekkan cerita, saya ambil dia kerja dengan saya, berdua dengan kawan dia, dalam sebulan dua, ada yang okay, tapi lagi banyak yang tak kena, tapi saya diamkan saja.
"Saya bawa pergi Johor, bincang dengan suami, terus ambil kata putus untuk berhentikan dan bayar gaji dia, bagi duit raya lagi.
"Tak lama selepas diberhentikan, ada hamba Allah beritahu saya yang si Reena ni bagitau kat orang saya tak bayar gaji dia, saya mesej Reena terus hari tu dan dia dah minta maaf, ok settle satu hal," tulis Abby sebagai kapsyen.
Tidak lama selepas itu, Abby mendapati bekas pekerjanya itu sekali lagi menggunakan serta memburukkan namanya.
Perkara itu diketahui Abby semalam apabila dimaklumkan oleh seorang pekerja butiknya.
"Masa dia kerja dengan saya, dia ambil kesempatan guna nama saya untuk bodohkan orang dan berhutang, siap suruh bawa buka puasa, suruh bank in duit, beli kuih raya berhutang guna nama saya konon kata saya jual kat Singapore.
"Hari ini (semalam) terbongkar semua apabila orang yang dimainkan itu mesej nombor niaga saya minta saya bayar hutang dia, pembantu butik sekarang pelik dan maklumkan pada saya," tambah Abby.
Abby merasakan dia perlu berkongsi perkara tersebut kepada umum demi memberi pengajaran kepada bekas pekerjanya itu.
"Minta maaf ya, saya terpaksa menulis ini agar dia ubah perangai sebelum terlambat, jangan sampai jadi ketagih menipu orang, bahaya sikap begini," tulis Abby mengakhiri ruangan kapsyen.
Di entri itu juga, Abby turut berkongsi foto serta perbualan bersama wanita berkenaan.
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen turut tidak berpuas hati dan mencadangkan Abby untuk melaporkan perkara itu kepada pihak polis.