Pelakon, pelawak, penyanyi dan pengacara terkenal Zizan Razak berasa sangat teruja kerana dipilih sebagai duta permainan atas talian yang cukup terkenal di seluruh dunia.

Zizan dipilih sebagai duta pertama Free Fire Malaysia dan muncul di dalam iklan TV, filem pendek eksklusif serta muzik video. Malah filem pendek eksklusif lakonannya itu hampir mencecah satu juta tontonan di YouTube sejak dilancarkan pada awal Mei lalu.

"Pemilihan saya sebagai duta boleh dilihat sebagai satu nafas baharu dalam dunia hiburan. Saya teruja menjadi duta pertama di Malaysia. Sebagai pelakon, saya sentiasa suka menghiburkan dan memberikan pengalaman yang tidak dilupakan untuk rakyat Malaysia.

"Saya berharap dapat menjadi sebahagian daripada e-sukan yang sedang membangun dan ini akan mencipta gelombang hiburan baru di kalangan anak-anak muda di Malaysia," kata Zizan.

Antara nama-nama besar yang turut menjadi duta kepada permainan atas talian yang pernah mendapat penghargaan 'Permainan Popular Terbaik' oleh Google Play Store pada 2019 adalah pemain bola sepak terkenal Cristiano Ronaldo, pelakon popular Bollywood Hrithik Roshan, serta DJ terkenal daripada Brazil DJ Alok.

Kredit Gambar: Instagram