Syukur apabila single pertamanya berjudul Hujan menerima reaksi positif, usahawan yang kini bergelar penyanyi Ahmad Iqbal Zulkefli tidak mahu terlalu leka diulit pujian.

Iqbal sebaliknya nekad untuk meneruskan sesi latihan vokal biarpun dihimpit jadual kerja yang padat.

Menurut Iqbal, dia juga sudah cuba melakukan yang terbaik untuk tidak menggunakan sebarang bantuan ‘auto tune’ pada sesi rakaman lagu berkenaan.

“Saya tetap teruskan kelas vokal, sesibuk mana pun. Saya cuba lakukan sehabis baik demi tidak menggunakan auto tune,” katanya.

Tambahnya, dia juga menganggap sesi rakaman lagu Hujan sebagai antara pengalaman berharga dalam hidupnya.

“Pengalaman mencabar tiga hari dapat lagu terus ke sesi rakaman. Itu kali pertama saya ke rakaman studio,” jelasnya.

Iqbal berkata demikian menerusi satu hantaran di Instagram Story.

Untuk makluman, Iqbal telah pun melancarkan single pertamanya, Hujan berserta video muzik semalam.

Tinjauan Gempak di saluran YouTube Rusa Entertaiment mendapati rata-rata pendengar tertarik dengan lagu yang berkisarkan tentang perjalanan hidup Iqbal itu.

Selain memberi komen positif mengenai vokal Iqbal, mereka turut memuji lagu ciptaan komposer Achoi Floor88 dan Oja itu.

Malah, sehingga artikel ini ditulis, video muzik Hujan sudah ditonton sebanyak 847,000 kali.

BACA : “Not Bad Lagu Ni Suara Pun Sedap, Tak Macam …..” - Ramai Puji Single Sulung Iqbal Zulkefli, Percaya Bakat Boleh Digilap