Hiburan

"Saya Tewas Sebab Terlupa & Panik" - Adibah Noor

gempak
Badrul Hashim
12/07/2020
23:15 MYT
Sponsor Banner
"Saya Tewas Sebab Terlupa & Panik" - Adibah Noor
Satu persatu Instagram selebriti tanah air cuba digodam terutamanya untuk memeras ugut mendapatkan wang. Kes terbaru terjadi kepada Instagram penghibur serba boleh, Adibah Noor.
Menurut Adibah Noor menerusi tiga buah video yang dikongsikan di Twitter miliknya, perkara tersebut berlaku akibat terlupa dan panik.
"Untuk orang yang tidak percaya kepada permintaan kod pengesahan palsu seperti saya, Instagram saya telah digodam. Tapi semalam saya tewas sebab terlupa dan panik.
"Cara dia buat ialah dia akan menghubungi kita melalui Direct Message (DM) dalam instagram. Lepas tu dia konon-konon cakap kita dah langgar undang-undang hak cipta (copyright), dan dia akan suruh kita isi satu borang," kata Adibah.
Tambah Adibah, ketika mengisi borang tersebut dia diminta menukar kata laluan untuk email, Facebook dan Instagram. Apabila menukar kata laluan untuk media sosial, pihak Google akan menghantar kod pengesahan pertukaran tersebut.
"Kesilapan saya adalah apabila didesak di DM konon-konon oleh pasukan bantuan sokongan Instagram (Instagram Support Help team) tu, saya tak berfikir panjang, dia minta kod pengesahan daripada Google.
"Bila kita tak jawap dia akan desak, mana dia? Konon-kononnya dia nak betulkan keadaan. Saya tewas di situ kerana tak berfikir panjang, saya terus bagi kod pengesahan daripada Google," jelas Adibah lagi.
Menurut Adibah, kesalahannya kerana cepat percaya bahawa mesej tersebut daripada pasukan bantuan sokongan Instagram dan berkongsi kod pengesahan tersebut.
"Kita pun panik sebab dia kata nanti kalau kita tak buat pengesahan tu semua, akaun kita akan hilang. Sejurus selepas saya bagi kod pengesahan Google tu, email telah ditukar.
"Selepas tu saya dapat email mengatakan email kepada akaun Instagram sudah bertukar kepada akaun lain, dan bila saya cuba untuk dapatkan balik, semua dah hilang," kata Adibah.
Namun begitu menurut Adibah, alamat email penggodam tersebut tertera di dalam emailnya dan dia menghubungi penggodam tersebut.
"Saya hubungi email penggodam tersebut dan mengatakan semoga awak berbahagia melakukan onar kepada manusia lain, insan-insan lain yang mungkin bergantung kepada memori manis yang kita kongsikan di Instagram.
"Dia tanya balik saya, dia balas dan dia kata 'Adakah anda mahu akaun anda kembali? (Do you want your account back?) Dan saya jawap 'mesti awak minta bayaran'.
"Lepas tu dia jawap balik 250 Euro bagi sekarang. Saya cakap kat dia tak payah. Saya doakan semoga Allah balas perbuatan mereka membuat penipuan kepada orang lain. Itulah kesudahannya, maka bermula hari ini akaun Instagram saya dah bertukar kepada Adibah Noor Mohd Omar," kata Adibah.
Adibah berharap orang lain tidak akan terpedaya seperti dirinya. Walaupun sudah berwaspada dan berhati-hati, ada ketika kita terlupa dan kita panik. Pada masa yang sama, Adibah mengucapkan terima kasih kepada semua yang menitipkan mesej-mesej kasih sayang kepada dirinya.
"Selalunya bila berita sebegini keluar di portal-portal media, di ruangan komen akan ada yang tinggalkan komen 'kenapa benda ni jadi bahan berita? Penting sangat ke orang dalam berita ini?
"Kepada anda yang rasa tak penting tak mengapa. Tapi sebenarnya ramai di antara anda yang mengetahui tentang hal ini akan berwaspada dan menjadikannya pengajaran," kata Adibah.
Buat kesekian kalinya, Adibah berharap tidak ada orang lain yang akan terpedaya dengan penggodam-penggodam laman sosial ini.
"Saya percaya kalau akaun kita kena godam atau orang lain yang cuba masuk, mereka akan hantar email. Jadi jangan percaya pada Direct message atau Private Message yang meminta pengesahan daripada kita," katanya menutup bicara.
Kepada anda yang ingin mengikuti Instagram terbaru Adibah Noor, anda boleh berbuat demikian di @adibahnoormohdomar
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live