Hiburan
"Saya Tidak Akan Mohon Maaf Sebab Saya Tak Buat Salah" - Ustaz Abu Syafiq
Pendakwah bebas Ustaz Abu Syafiq menjelaskan kenyataan yang ditulis mengenai menjaga aib ketika memberi sumbangan bukan ditujukan kepada Ustaz Ebit Lew.
Kata Abu Syafiq, dia tidak tahu menahu tentang perkongsian Ebit kerana tidak mengikutinya di media sosial.
"Kenyataan saya adalah berkenaan meletakkan gambar dan video orang miskin yang susah sehingga memalukan dia dengan aib, maka hukumnya haram.
"Jika menjaga aib penerima, nak tangkap gambar atau video tak ada masalah. Bukan saya melarang orang tangkap gambar untuk kebaikan, menggalakkan orang lain untuk bersedekah ketika beri sumbangan. Saya tak larang yang itu. Saya larang jika ia sehingga mengaibkan orang lain.
"Masa saya tulis tu, demi Allah saya tak tahu Ebit masukkan dalam Facebook sebab saya tak 'follow' dia. Saya tak tahu langsung.. Saya tak tuju kepada dia dan saya tak tahu langsung.
"Tapi ada orang ambil kenyataan saya, cantumkan kata Ustaz Abu Syafiq ni kutuk Ebit Lew. Kemudian baru saya tahu Ebit letak gambar. Tak ada kaitan dengan Ebit Lew sebenarnya.
"Ebit saya sekali pandang macam tu ja. Kenal pun tak kenal sebab tak pernah jumpa. Saya tak pernah bercakap dengan dia. Saya tak pernah tengok ceramah dia, kalau sekali lalu ada la," katanya.
Rakaman perbualan bersama seorang bekas penyiaran TV3, Ryzal Ibrahim itu dimuat naik di akaun Youtube Duriankimchi TV.
Dalam pada itu, Abu Syafiq menegaskan dia tidak akan memohon maaf terhadap Ebit.
"Kalau saya ni sengaja nak tuju kepada dia dan timbul pula isu macam ni, memang saya rasa bersalah.
"Tapi saya tak tuju kepada dia pun. Saya tidak akan mohon maaf sebab saya tak buat salah," katanya lagi.
Terdahulu, Ebit meluahkan rasa sedih kerana usahanya dalam membantu golongan yang memerlukan ketika berhadapan krisis COVID-19 disalahertikan oleh segelintir pihak.
Ebit pada Jumaat lalu juga telah mengumumkan mahu berhenti memberi bantuan secara langsung.
Walau bagaimanapun, Ebit yang terkenal dengan sifat pemurahnya kini telah kembali meneruskan aktiviti kebajikannya kerana tidak sanggup melihat kesusahan mereka yang kurang bernasib baik.