Penceramah motivasi dan keagaman, Syamsul Debat bersedia menceburi bidang lakonan dengan lebih serius selepas membintangi filem This Is Pilah: The Movie.

Syamsul Debat atau nama sebenarnya Syamsul Amri Ismail, 41, berkata dia terbuka untuk menerima tawaran berlakon asalkan ia tidak menggangu jadual undangan ceramahnya.

“Saya memang minat dan menceburi bidang lakonan ini sejak dari kecil lagi serta pernah menyertai persembahan lakonan di sekolah.

“Jadi apabila ditawarkan untuk berlakon dalam filem ini saya berbesar hati untuk menerimanya memandangkan watak yang dijayakan tidak jauh berbeza dengan tugasan harian saya, jadi mudah untuk merealisasikan karakter itu.

“Kebetulan mereka juga sanggup menunggu masa lapang saya iaitu selepas selesai undangan ceramah pada jam 2 pagi.

“Jadi babak saya dirakam ketika jam 2 pagi,” katanya kepada Astro Gempak.

Syamsul ditemui selepas tayang preview filem This Is Pilah: The Movie, semalam.

Penceramah bebas itu memberitahu selepas ini jika diberi peluang dia mahu membawakan watak yang berbeza.

“InsyaAllah selepas ini, jika tiada aral melintang dan ada yang menawarkan saya berlakon saya akan terima.

“Jika ditawarkan watak lelaki gangster sekalipun saya tidak kisah untuk mencuba asalkan ia tidak melibatkan babak atas katil dan tidak melanggar syariat Islam,” katanya lagi.


Filem komedi romantik terbitan Madness Film Sdn Bhd yang memulakan tayangannya semalam membariskan penyanyi rap, Juzzthin dan bakat baharu, Zaidatul Iesna selain Kazar Saisi, Ebby Yus, Joey Daud dan Waris.


Produksi yang mengangkat Adat Perpatih dan menggunakan sepenuhnya dialek Negeri Sembilan berkisar mengenai dua kekasih yang mendapat halangan mendirikan rumah tangga disebabkan berasal dari suku yang sama.


Teks oleh: Syafiqah Jalal