Berita
Saya Tidak Kisah Kalau Orang Panggil Saya Pelawak - Datuk Malek Noor
Bekas atlit bina badan negara, Datuk Malek Noor mengakui tidak kisah jika digelar sebagai pelawak selepas menjadi pengulas dalam program Temasya Sukan Ke Laut.
Menurut Datuk Malek Noor, 63, dia bersyukur kerana dikurniakan pelbagai bakat untuk dikongsikan bersama orang ramai.
"Walaupun saya digelar sebagai legenda sukan bina badan, namun saya tidak kisah untuk terjun dalam dunia komedi dan bergelar sebagai seorang pelawak.
"Bagi saya orang terbaik dalam dunia ini adalah mereka yang mampu melakukan pelbagai perkara dan memanfaatkan setiap bakat yang dimiliki.
"Saya sebenarnya bukan sahaja bekas atlet bina badan tetapi pernah menjadi seorang pelakon, penyanyi, pengacara, juruhebah dan ahli perniagaan.
"Sejujurnya, gelaran yang diberikan itu tidak penting kerana bagi saya apa yang utama adalah pekerjaan yang dilakukan itu menggembirakan hati sendiri dan orang sekeliling," katanya kepada Astro Gempak.
Malek Noor berkata demikian ketika ditemui pada sesi pengambaran program Sukan Ke Laut, di Sports Affairs, Cheras, baru-baru ini.
Tambah Malek Noor, dia seronok menggalas tugasan sebagai pengulas untuk program Temasya Sukan Ke Laut dengan gandingan bersama pelawak, Abam Bocey.
"Program ini cukup sesuai dengan jiwa saya dan saya akui bekerjasama dengan Abam memang sangat menyenangkan," ujarnya.
Temasya Sukan Ke Laut bersiaran setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan saluran serentak di Warna HD (saluran 124).
Program ini juga boleh ditonton menerusi platform Astro GO dan On Demand.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Must-Watch Video