Berita
"Saya Tidak Mahu Dikecewakan Lagi" - Vicha Takut Nak Cari Pengganti Teman Hidup
Pelawak Vicha mengakui dia kini lebih berhati-hati untuk mencari pengganti teman hidup selepas rumah tangga yang dibinanya berkecai sebelum ini.
Vicha atau nama sebenarnya, Refika Novianti Faturohman, 32, berkata, kesakitan dikecewakan lelaki itu masih terkesan sehingga ke hari ini.
"Sakitnya itu masih di sini. Sebenarnya hidup saya sudah sempurna. Ini kerana seorang wanita itu dikatakan sudah sempurna jika sudah menikah dan melahirkan anak. Jadi, saya sudah lalui semua itu.
"Saya tidak mahu kecewa buat kali kedua atau ketiga hanya kerana lelaki," katanya kepada Gempak.
Begitupun, menurut pelawak kelahiran Indonesia itu, dia tidak pernah menutup pintu hatinya untuk menerima kehadiran orang baru.
"Bukan sesuatu yang mudah untuk cari pengganti. Lelaki yang cuba dekati saya bukan hanya perlu terima saya, tetapi tiga orang anak saya juga.
"Itu yang susah nak cari insan yang boleh terima kita seadanya," katanya yang bakal membintangi teater Korupsi Dewan Semandung.
Kata Vicha, biarpun dia sudah hidup solo, dia tidak pernah berasa sunyi.
"Kasih sayang itu boleh didapati dari sesiapa pun (ahli keluarga). Saya tidak sunyi, kerana sentiasa sibukkan diri.
"Jika tidak mempunyai kerja di luar, saya sibukkan diri dengan memasak di rumah," katanya yang kini tinggal berjauhan dengan anak-anaknya.
Pelawak kelahiran Indonesia itu mempunyai tiga anak iaitu, Aurel Angelina Khezya, 11, Listya Arum Tresnasih, 10, dan Michelle Averina Calysta, 8, yang kini menetap di Bandung, Indonesia.
Vicha mula membina nama di Malaysia sejak penglibatannya dalam Maharaja Lawak Mega pada 2013 bersama kumpulan SayWho.
Must-Watch Video