HIBURAN
“Saya Tidak Mahu Kalau Satu Hari Nanti Jodoh Kami Tiada, Saya Buka Tudung Kerana Niat Saya Hanya Untuk…” Fouziah Gous
Pelakon dan usahawan, Datin Fouziah Gous mengakui perjalanan hijrahnya dilakukan secara berperingkat dan bukan kerana desakan sesiapa termasuk suaminya, Datuk Zhafran Md. Yusof.
Menurut Fouziah, dia tidak mahu memakai tudung hanya semata-mata untuk menggembirakan suami, sebaliknya mahu perubahan itu lahir dengan kerelaan diri sendiri.
undefined
“Saya masih ingat masa buat video pra-perkahwinan dulu. Zhaf janji akan beri saya masa. Saya pegang kata-kata itu sampai sekarang.
“Saya tidak mahu kalau satu hari nanti takdir jodoh kami tiada, saya buka tudung kerana niat asal saya hanya untuk suami. Biarlah saya buat kerana diri saya sendiri,” katanya.
Jelas Fouziah, dia seorang yang lebih selesa mengikut fasa dalam perjalanan hijrah supaya setiap langkah yang dilakukan benar-benar ikhlas.
“Saya memang ikut fasa saya. Saya tahu mengubah diri ini untuk diri saya sendiri kerana saya tidak mahu ada niat yang bercampur.
“Saya mahu jadi yang terbaik, tapi bukan kerana paksaan. Masa itu sangat penting,” ujarnya.
Dalam masa sama, Fouziah sempat berkongsi sisi peribadi rumah tangganya apabila mendedahkan betapa dia terlalu bergantung kepada suami dalam perkara kecil sekalipun.
“Saya seorang workaholic, pandai buat semua benda sendiri. Tapi dengan Zhaf, saya tak boleh lakukan semua perkara.
“Nak makan ubat pun, kalau dia tak buka, saya tak akan makan. Itu betapa besarnya peranan dia dalam hidup saya,” katanya lagi.
Fouziah berkongsi perkara tersebut menerusi rakaman video pendek ketika menjadi tetamu majlis ilmu tertutup anjuran selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa.
Sekadar info, Fouziah mendirikan rumah tangga dengan Zhafran pada 21 September 2013 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata.