Gaya Hidup
"Saya Tidak Mahu Kehilangan Ibu Terhebat Saya" - Ning Baizura Pohon Doa Untuk Ibu Tersayang
Dalam dua entri IGTV di Instagram miliknya, Ning Baizura kelihatan benar-benar sedih dan sangat beremosi.
Kedua-dua entri tersebut berkaitan dengan ibunya Satillah Abdullah yang dikatakan sedang bertarung menentang serangan asma.
"Minggu lepas dan minggu ini, terus terang saya akui saya telah melalui perjalanan emosi yang gila sangat. Sahabat saya, ibu saya telah jatuh sakit.
"Dan saya pula harus bersikap positif, bagi semangat yang sangat kuat untuk diri saya dan keluarga saya sendiri. Alhamdulillah," tulis Ning.
Tambah Ning, berdoa, Berzikir dan menyanyi membantunya melalui saat-saat yang beremosi yang dilaluinya sekarang.
"Lagu ini khususnya untuk saat ini dan ketika saya merakamkannya, beberapa malam yang lalu adalah ketika semua orang sedang tidur saya tidak dapat menjerit dengan kuat, atau mengejutkan keluarga saya, tetapi saya mahu emosi saya diluahkan didalam nyanyian lagu ini.
"Sumpah lillah, saya berniat kejujuran akan lahir atas kesederhanaan saya, mungkin kerana perasaan ini akan menyembuhkan saya," tambah Ning.
Menurut Ning lagi, dia tidak mahu kehilangan ibu terhebat untuk dirinya. Dia berharap Allah SWT akan memberikan kekuatan pada ibunya melawan sakit asma yang melanda. Ning juga tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang mendoakan ibunya.
"Bismillahirrahmanirrahim. Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosaku, amin, ampunilah segala dosa-dosa ibuku, amin.
"Sesungguhnya sekiranya aku atau ibuku serta keluargaku ditimpa penyakit, Engkau sahajalah yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani," kongsi satu doa Ning di entri berikutnya.
Ning turut mengucapkan terima kasih kepada sahabatnya, Kama yang berkongsi doa bersamanya.
Kami di Gempak sama-sama mendoakan kesembuhan ibu kepada Ning Baizura.
Must-Watch Video