Pelakon Ruhainies menafikan bahawa dirinya akan berkahwin bersama kekasih dikenali sebagai Mr E dalam masa terdekat ini.

Menurut laporan Harian Metro, Ruhainies menjelaskan dia akan berkahwin selepas kakaknya yang juga pelakon, Nur Risteena mendirikan rumah tangga tahun ini.

"Tarikh kahwin saya biarlah rahsia dan menjadi elemen kejutan. Apa saya boleh katakan, perancangan ke arah itu bukan dalam masa terdekat.

“Kalau boleh, mahu kakak kahwin dulu. Insya-Allah, majlis perkahwinannya berlangsung tahun ini. Lagi pula, saya tidak mahu langkah bendul.

“Keluarga saya pula jenis kena ikut adat. Mahu atau tidak, memang kena lepaskan kakak dulu," katanya.

Tambah Ruhainies, soal kahwin bukan perkara mudah dan disebabkan itu dia tidak mahu tergesa-gesa.

“Kalau tanya mengenai persediaan, dalam dunia ini tidak ada siapa yang bersedia terutama apabila bercakap soal kahwin.

“Ini disebabkan masing-masing inginkan yang terbaik. Macam saya sendiri pun, masih berasa diri tak sempurna.

“Apa pun, doakan yang terbaik untuk saya dan segala dirancang dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

November tahun lalu, Ruhainies mengakui sudah dilamar kekasihnya ketika bercuti di Itali.

Ruhainies berkata, lamaran itu dibuat sempena genap setahun perkenalan mereka.

Sumber: Harian Metro