Hiburan
"Saya Tidak Mempunyai Kewangan Cukup" - Butik Yuna Gulung Tikar
Selepas enam tahun beroperasi, penyanyi popular Yuna terpaksa menutup butik pakaiannya, November Culture yang beroperasi di Subang Jaya, Selangor.
Yuna, 31, mendedahkan dia gagal meneruskan perniagaan berkenaan ekoran masalah kewangan.
"Sudah tentu sangat sedih untuk mengumumkan saya terpaksa menutup November Culture (NC), saya sayangkan perniagaan itu sepenuh hati saya.
"Sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal, kerana keadaan tidak dapat dijangka dan saya tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk meneruskan bisnes itu," ujarnya menerusi akaun Instagramnya.
Tambah Yuna sepanjang beroperasi, butiknya tidak pernah bergantung pada mana-mana pelabur untuk bertahan.
"Saya bangga NC adalah kedai yang bebas sepenuhnya, tidak ada pelabur, tidak ada penyokong, tidak ada yang memberitahu saya apa yang hendak dijual atau dilakukan untuk menjadikan barang itu laku, hanya saya dan beberapa orang yang melakukan apa yang kita suka, kita juga mendapat pengikut yang besar di seluruh dunia!
"Terima kasih semua untuk sokongan anda, jurugambar, kakitangan, pelanggan. Terima kasih kerana memberi saya peluang untuk melakukan ini Saya tidak berputus asa, saya baru memulakan babak baru dalam hidup saya," ujar Yuna lagi.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @yunamusic
Must-Watch Video