Laman Utama
“Saya Tidak Terlibat Dalam Mana-Mana Saham Pelaburan” - Foto Bersama Kereta Mewah Jadi Umpan, Danial Era Buat Laporan Polis
Penyampai radio Era Danial Zaini mengakui kecewa apabila foto bersama kereta mewah yang baru dibeli dijadikan iklan sebuah saham pelaburan di laman sosial Facebook dan Instagram.
Menurut Danial, dia membuat laporan polis setelah membuat perbincangan bersama pihak pengurusan serta pihak guaman.
“Pihak tersebut mengiklankan gambar saya dengan tertera nombor akaun dan logo Bank Negara dengan tidak meminta kebenaran. Saya tidak mahu ramai yang terpedaya apabila gambar saya disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya ada membuat satu hantaran di Instagram untuk meminta pihak terbabit menurunkan gambar tersebut tapi sampai ke hari ini tiada sebarang tindakan diambil.
“Sejak Ahad ramai yang DM saya di Instagram untuk bertanyakan hal itu. Ahli keluarga saya pun terkejut bila tahu tentang perkara ni dan mereka meminta saya untuk menyelesaikan perkara ini secara elok.
“Saya menyerahkan perkara ini kepada pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mereka ambil tindakan,” ujar Danial kepada Gempak.
Danial ditemui selepas membuat laporan polis berkaitan kes tersebut di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam sebentar tadi.
Selain penggunaan fotonya tanpa izin, Danial turut terkilan apabila ada pihak yang menuduhnya membeli sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz CLA menggunakan wang haram.
“Saya ingin menegaskan saya tidak terlibat dalam sebarang pelaburan yang tidak sah. Ini umpama fitnah kalau ada yang mendakwa saya membeli kereta mewah tersebut menggunakan wang pelaburan.
“Kereta itu saya beli hasil wang simpanan dan titik peluh kerja selama 10 tahun saya berhijrah ke Kuala Lumpur. Ia bukanlah dibeli menggunakan wang haram ataupun daripada pelaburan mana-mana syarikat.
“Jangan percaya gambar saya mahu pun mana-mana artis pun, menggunakan gambar kami tanpa izin. Sejak kebelakangan ni banyak dah kita dengar pasal jenayah scam yang melibatkan artis dan sebagainya, cukuplah,” jelasnya.
Malah, Danial berpesan untuk orang ramai mengambil langkah berhati-hati terhadap mana-mana tawaran pelaburan kerana ada pihak yang sanggup mengambil kesempatan dalam situasi yang sukar ketika ini.
Semalam menerusi laman sosial Instagram, Danial memuat naik sekeping foto dirinya bersama sebuah kereta mewah menjadi mangsa iklan saham pelaburan.
Terdahulu, Danial berkongsi baru sahaja menerima kereta itu selepas menempahnya sekitar awal tahun ini.