HIBURAN
“Saya Tuntut Cerai, Bukan Suka-Suka” – Mas Idayu Buat Istikharah, Rujuk Yang Arif Sebelum Bercerai
Penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu akhirnya membuka mulut berhubung penceraian dengan bekas suaminya yang juga penerbit eksekutif TV3, Sufian Isa.
Menurut Mas Idayu atau nama sebenarnya, Mas Idayu Mesnun, 53, keputusan untuk bercerai tidak dibuat secara terburu-buru, sebaliknya dia telah mendapatkan pandangan pihak berautoriti termasuk kadi, ustaz dan mutawif sebelum memfailkan penceraian.
“Dua tahun saya bertahan dan saya sayangkan perkahwinan ini tapi saya sudah rujuk kepada kadi yang nikahkan saya, ustaz serta mutawif dan saya layak, bukan suka-suka.
“Saya solat istikarah setiap malam untuk minta petunjuk, malah sejak bulan Rejab saya sentiasa bersujud meminta petunjuk Allah,” katanya kepada Gempak.
Mas Idayu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Air Titik ke Batu yang berlangsung di Puchong, Selangor semalam.
Mengimbas kembali detik penceraian, penyanyi lagu Cintaku 100% itu turut mendedahkan bahawa dia sendiri yang memfailkan penceraian tanpa pengetahuan bekas suami.
“Saya tuntut cerai tak sorok-sorok, cuma saya tak cerita pada orang. Allah bantu lindungi aib penceraian saya.
“Saya tak rahsiakan kedatangan saya ke mahkamah. Untuk orang yang marah pada saya, sebenarnya saya yang menuntut. Jangan manipulasi cerita atau main peranan sebagai mangsa,” katanya.
Mengulas reaksi segelintir pihak yang mengecam tindakannya menuntut cerai, Mas menjelaskan tuduhan tersebut amat tidak wajar memandangkan dia sudah mengambil kira pelbagai aspek termasuk hukum.
“Untuk orang-orang yang marahkan saya, sebenarnya saya yang menuntut. Kalau isteri menuntut cerai tanpa sebab, tak bau syurga tapi saya sangat-sangat layak.
“Jangan manipulasi cerita atau play victim kalau tak tahu cerita. Ketika saya menuntut penceraian, dia tidak tahu,” katanya lagi.
Terdahulu, Sufian mengesahkan mereka telah sah bercerai pada 4 Mac lalu selepas hampir dua tahun bergelar suami isteri.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada September 2022 selepas kembali rapat sekitar tahun 2021, walaupun sudah saling mengenali sejak Mentor 3 pada 2008.
Untuk rekod, Mas Idayu pernah berkahwin dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai pada 2006. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Dayini Asyiqa, 27.
Sementara itu, Sufian pernah mendirikan rumah tangga bersama personaliti TV, Intan Suraya dan dikurniakan seorang anak.
Must-Watch Video