“Sayu Hati Ini Makin Sayu, Air Mata Syawal Lagi Lah Aku Tahun Ni” - Netizen Luah Kesedihan Sambut Raya PKP 3.0
Pisang berbuah dua kali, itu mungkin gambaran mengenai sambutan raya tahun ini apabila kesemua rakyat Malaysia terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua hari sebelum sambutan raya, ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Biarpun akur, namun jauh di sudut hati pasti ramai yang terkesan dengan pengumuman berkenaan.
Ditambah pula sudah berbulan-bulan, malah ada yang bertahun tidak dapat pulang ke kampung halaman.
Menerusi pemantauan Gempak di platform Twitter, rata-ratanya mengambil kesempatan meluahkan rasa sedih mereka.
Kebanyakan mereka dilihat reda dengan keputusan kerajaan jika inilah jalan terbaik.
“Ku sangkakan tahun lepas adalah yang terakhir, pasrah je lah”
“Sayu hati ini makin sayu…Air mata Syawal lagi lah aku tahun ni”
“Bukan tak boleh terima tapi kenapa time raya baru nak umum, sedih macam ni tak mood nak gosok baju raya,” tulis beberapa netizen.
Apapun doakan supaya kes Covid019 di Malaysia pulih dan kita semua mampu pulang ke kampung halaman.Sekadar info, perlaksanaan PKP 3.0 dibuat susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak sejak beberapa minggu yang lalu.