Berita
Scammer Menyamar Guna Gambar Lan Solo, Minta Pekerja Pindahkan Wang
Penyanyi Lan Solo mendedahkan terdapat pihak yang cuba menyamar menjadi dirinya dengan cuba memperdaya pekerjanya untuk melakukan pemindahan wang.
Menurut Lan, individu tersebut menggunakan gambar yang sama dengan imej profil di aplikasi WhatsApp peribadi miliknya.
"Individu itu menghantar mesej kepada nombor bisnes saya yang diurus pekerja untuk pindahkan wang.
"Memang kebetulan ketika itu saya ada kerja di luar. Mungkin staf merasakan saya betul-betul tak sempat nak buat transaksi sebab mereka pelik memandangkan selama ini saya jarang berhubung terus dengan pekerja.
"Nasib baik staf saya peka dan membuat semakan terlebih dulu untuk bertanya mengenai sama ada saya ada nombor telefon lain atau pun tidak.
"Yang menjadi hairannya, individu itu menyamar menggunakan profil yang sama dengan nombor peribadi saya," katanya ketika dihubungi Astro Gempak.
Terdahulu, Lan menerusi satu posting di Instagram mendedahkan mesej yang diterima daripada individu berkenaan yang meminta pekerjanya memindahkan wang berjumlah RM 1,350.
"Apabila kita semak nombor telefon ini memang scammer. Namun, nombor akaun bank yang diberikan itu memang wujud.
"Kemudian kami dapat tahu ada beberapa orang lain lagi juga berdepan situasi sama. Cuma, apabila kita cuba hubungi nombor tersebut semula, sudah tak aktif lagi," jelasnya.
Lan turut memuat naik nombor telefon scammer tersebut sebagai usaha untuk memastikan orang ramai agar lebih berhati-hati selepas ini.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video