HIBURAN
Scha Alyahya Sedih Arwah Ibu Tak Sempat Tonton Filem Lakonan - “Dia Sangat Bangga Dengan Saya, Insya-Allah”
Pelakon Scha Alyahya mengakui gementar apabila melangkah semula ke set penggambaran filem arahan pengarah tersohor Osman Ali berjudul Telaga Suriram selepas bertahun tidak terlibat dalam dunia lakonan.
Diberikan kepercayaan untuk membawa watak sebagai seorang Inspektor polis, Scha berkata watak tersebut perlu digarap dengan sisi berbeza, jauh dari klise dan stereotaip yang biasa dipaparkan.
“Sudah bertahun saya tak berlakon, apatah lagi berlakon filem. Bila saya pergi casting, berlakon di bawah arahan Osman Ali, saya agak gerun tetapi saya sahut cabaran.
“Osman Ali minta saya bawa watak Inspektor polis tetapi tidak klise dan stereotaip, ada sisi berlainan seperti sifat kemanusiaan dan empati. Jadi perlu bijak seimbangkan.
“Memainkan watak polis ketika latar masa 1980-an itu sangat berinspirasi kerana dunia didominasikan kaum lelaki, pada saya ia sangat luar biasa,” katanya kepada Gempak.
Sebagai komitmen terhadap wataknya, Scha turut sanggup memotong rambut beberapa kali untuk memastikan penampilannya bersesuaian dengan watak.
“Inspirasi itu saya banyak dapat didikan daripada Osman dan Eliie Suriaty, kebetulan di set ada krew yang ibunya memang seorang Inspektor polis.
“Saya perlu lari dari sisi yang klise, rambut pendek itu juga salah satu tanggungjawab saya.
“Saya perlu potong rambut menjadi pendek beberapa kali,” kongsinya.
Dalam pada itu, Scha berkongsi rasa sebak mengenangkan arwah ibunya yang tidak sempat menyaksikan filem lakonannya ini.
“Secara peribadi saya sedih dan sebak sebab arwah ibu saya sudah lama mahu tengok filem ini.
“Tapi dia tak sempat bersama, saya tahu dia sangat bangga dengan saya, Insya-Allah,” ujarnya.
Telaga Suriram yang dibintangi pelakon Farid Kamil, Ellie Suriaty, Nabila Huda, Maya Karin, Scha Alyahya dan ramai lagi itu akan ditayangkan di seluruh pawagam mulai 1 Mei ini.
Must-Watch Video