Pelakon, model dan pengacara, Scha Alyahya terkejut apabila mendapati dirinya termasuk dalam senarai 'rudest celeb you've ever met' yang kini trendnya sedang tular di media sosial Twitter.

Jelas Scha, 40, sepertimana pendiriannya tidak berkenan dengan individu yang punyai sikap biadab atau sombong, begitu juga dirinya yang sentiasa berpegang pada prinsip berbuat baik sesama manusia.

"Saya terkejut dengan 'trend' tersebut. Mungkin sedar tak sedar saya mungkin pernah tak tegur orang, tak tersenyum. Mustahil kita sebagai manusia tak pernah buat salah.

"Bagi saya, untuk biadab itu jauh sekali untuk saya bersikap sedemikian.

"Saya memang pantang, paling tak suka orang berlagak, rude! Tak payahlah nak berlagak dengan saya. Bagi saya, pada akhirnya kita semua sama, jadi kalau ada berdepan dengan situasi sedemikian dengan saya, saya nak minta maaflah.

"Mungkin saya tak sedar atau saya ada masalah, mungkin tak sengaja. Jadi harapnya, ketidaksenangan itu mungkin daripada salah saya yang tak sedar," katanya kepada Gempak.




Scha yang ditemui pada acara Bual Bicara: Seminar Komunikasi Antarabudaya anjuran pelajar sarjana Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini menegaskan trend sedemikian tidak sepatutnya dijadikan kayu ukur untuk melabel individu.

"Itukan trend, benda orang main-main saja. Kadang-kala okey, kadang kala tak okey. Cuma janganlah terlalu taksub sampai jatuh hukum pada seseorang itu.

"Kadang-kadang kita perlu berhati-hati benda yang kita nak kongsi, cakap atau cop seseorang itu. Kerana kesannya kepada orang yang kena, jadi berhati-hatilah.

"Benda mainan seperti trend ini okey. Tapi jangan sampai susahkan orang, kena ada limit dan tahu sesuai atau tidak. Sosial media ini banyak mainannya, kadang-kadang yang buatnya seorang dua, dihebahkan lama kelamaan jadi besar. Nak main tak salah, cuma berpada-pada," nasihatnya.

Terdahulu, trend artis sombong melawan artis baik yang bermula di Hollywood menjadi topik tular di Twitter apabila ada warganet yang berkongsi pengalaman masing-masing bersama artis tempatan.

Beberapa selebriti seperti Siti Khadijah, Hael Husaini, Neelofa dan Scha Alyahya sendiri terheret dalam trend tersebut.

BACA: Siti Khadijah Dituduh Biadab & Berlagak Diva Ketika Beli Kopi, Ini Jawapan Empunya Badan