HOLLYWOOD

Sean 'Diddy' Combs Kekal Dalam Tahanan Hingga Oktober

Gempak 05/08/2025 | 16:55 MYT
Penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Sean 'Diddy' Combs, akan kekal dalam tahanan sehingga tarikh hukuman pada awal Oktober selepas seorang hakim di New York menolak permohonan jaminan beliau, lapor media AS pada Isnin, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).

Peguam Combs sebelum ini memohon pembebasannya dari Pusat Tahanan Metropolitan di Brooklyn minggu lepas dengan hujah bahawa anak guam mereka tidak berisiko melarikan diri atau mengancam keselamatan awam.

Mereka turut menawarkan pakej jaminan berjumlah AS$50 juta, yang membolehkan beliau menunggu tarikh hukuman di bawah tahanan rumah. Permohonan serupa bagaimanapun pernah ditolak sebelum ini.

Combs, 55, didapati bersalah bagi sebahagian tuduhan pada awal Julai dalam satu perbicaraan berprofil tinggi, selepas ditahan pada September tahun lepas atas beberapa pertuduhan kesalahan seksual.

Juri hanya mensabitkannya atas pertuduhan berkaitan pelacuran dan beliau dibebaskan daripada pertuduhan yang lebih berat.

Combs kini berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dengan tarikh hukuman ditetapkan pada 3 Oktober. Jika disabitkan atas semua pertuduhan asal, beliau boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Pihak pendakwa raya menuduh Combs mendera, memaksa dan mengugut beberapa wanita selama bertahun-tahun bagi memenuhi kehendak seksualnya.

Sepanjang perbicaraan, beberapa saksi tampil memberikan keterangan mengenai penderaan seksual dan fizikal yang dialami mereka dalam tempoh yang lama.

Sumber: Sinar Harian

#sean #Oktober #Tahan #kekal #Diddy