Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

“Sebab Saya Jarang Keluarkan Lagu Kerana Faktor Usia Dan Kekurangan Idea” - Faizal Tahir

Izwan Isa 19/12/2021 | 05:50 MYT
Apabila menyebut nama Faizal Tahir, pasti ramai yang akan mengaitkan dirinya dengan lagu-lagu kempen dan juga lagu semangat.
Sehinggakan, sejak kebelakangan ini, Faizal dilihat kerap menerbitkan lagu untuk projek khas berbanding memasarkan single komersial miliknya sendiri.
Hal ini dapat dilihat menerusi pembabitan terbaharunya menerusi kolaborasi bagi penerbitan lagu Jalan bersama platform penstriman muzik Joox.
Berpeluang berbicara dengan Faizal menerusi sidang media virtual baru-baru ini, penyanyi yang popular dengan lagu Mahakarya Cinta itu mengaku tentang kekerapannya menerbitkan lagu berunsur semangat dan juga lagu kempen.
Namun, ujar Faizal, dia melihat perkara tersebut dari sudut yang positif.
“Terus-terang saya katakan, menyanyikan lagu kempen atau lagu-lagu pemberi semangat merupakan satu penghargaan bagi saya. Tak ramai orang yang dapat peluang buat yang diminta kerana selalunya, produser atau penulis lagu hanya menerbitkan lagu berdasarkan kisah sendiri.
“Jadi, saya suka apabila diberi peluang untuk menulis dan mencipta lagu yang boleh mewakili jiwa-jiwa dalam masyarakat mahupun komuniti,” katanya.
Ditanya adakah kekerapan terlibat dalam projek khas menyebabkan Faizal jarang menerbitkan lagu sendiri seperti sebelum ini, Faizal berkata: “Sejujurnya, salah satu sebab saya jarang keluarkan lagu kerana sudah berusia dan kekurangan idea. Saya memang sedang mencari material untuk single baharu.
“Jadi, saya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan penulis-penulis baharu untuk mendapatkan hasil terbaik. Apa yang penting material tersebut perlulah segar dan tidak pernah saya hasilkan sebelum ini,” ujar Faizal lagi.
Melanjutkan bicara mengenai lagu Jalan, Faizal mendedahkan lagu Jalan yang diterbitkan untuk Joox merupakan satu usaha yang baik dalam menggabungkan artis senior dan junior.
“Pada saya, penghasilan single Jalan ini merupakan satu usaha dan idea yang sangat baik daripada Joox kerana ia turut membabitkan artis senior dan baharu.
“Sekaligus ia dapat mencapai sasaran khalayak yang lebih besar dan meraih pendengar yang lebih ramai dari pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat. Selain itu ia dapat memberi satu mesej positif melalui kerjasama artis dari generasi berlainan yang menunjukkan kita semua bersatu hati dalam menyampaikan sesuatu yang baik,” katanya.
Hasil pendapatan dari muat turun nada dering lagu Joox Originals, Jalan akan disalurkan bagi membantu pemuzik tempatan yang bergelut di tengah-tengah pandemik COVID-19 sebagai sebahagian daripada Kempen #SUPPORTLOCAL Joox.
#Faizal Tahir
;