“Sebagai Ibu, Saya Faham Perasaan Risau Kesihatan Anak” – Siti Nurhaliza Bakal Bantu 5 Kanak-Kanak Pesakit Jantung Menerusi…

Azwa Rahman
Oktober 30, 2019 11:35 MYT
Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza melalui jenama kecantikan terkenal miliknya, Simplysiti bakal membantu lima kanak-kanak pesakit jantung menerusi kempen Simplysiti Di Hati 2019.
Menurut selebriti yang lebih mesra disapa dengan nama Tokti, kempen yang diperkenalkan sejak 2011 ini mengutip dana untuk membiayai kos pembedahan kanak-kanak pesakit jantung yang kurang berkemampuan.
“Alhamdulillah, pihak Simplysiti banyak berurusan dengan pihak Institut Jantung Negara (IJN) untuk membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan ini.
“Sebagai ibu, saya boleh rasakan macam mana perasaan emak yang risau kesihatan anak. Mereka ini perlu berdepan dengan anak yang ada sakit jantung, ditambah pula berdepan masalah kewangan.
“Dengan adanya kempen seperti ini, ia adalah salah satu cara saya memberi kembali kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak,” jelas Tokti kepada Gempak.
Tokti ditemui selepas melancarkan kempen tersebut di Hotel New World, Petaling Jaya, sebentar tadi.
Kempen ini akan mengumpul dana melalui konsep ‘membeli sambil menderma’. Dengan setiap pembelian produk Simplysiti bernilai RM120, sebanyak RM5 akan disalurkan ke Yayasan IJN dan pembeli akan turut menerima Di Hati 2019 gift box Eksklusif bernilai RM100.
Menurut Pengerusi Kutipan Dana dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan IJN, Datin Julini Mohd Ali, pihaknya bersyukur menerima pertolongan daripada Simplysiti.
“Alhamdulillah, kami berbesar hati menerima bantuan daripada Siti dan Simplysiti.
“Dengan adanya sumbangan ini dapat menambah nasib baik kanak-kanak di IJN,” jelasnya ketika ditemui.
Usaha murni ini akan berlangsung sepanjang November hingga Disember untuk mengutip dana pembiayaan berjumlah RM70,000.
Pembedahan pertama dijangka akan diadakan November ini.
Sebelum ini, Simplysiti telah berjaya mengumpul dana melebihi RM200,000 dan ia telah disalurkan ke dalam tabung Yayasan Institut Jantung Negara (IJN).
#Sumbangan #Kanak-Kanak #Kempen