Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Sebaik Masuk Pasport, Lampu Merah Menyala, Saya Dah Wanted…” - Isu Filem Babi, Namewee Janji Serah Diri Pada Polis!

Hanafis Haris
15/03/2021 23:45 MYT
Pengarah filem kontroversi, Namewee bersedia untuk menyerah diri kepada polis sebaik saja tempoh kuarantin tujuh harinya tamat.

Perkara itu diumumkan Namewee menerusi satu posting di Facebook peribadinya sebaik dia pulang ke Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Namewee, dia kini dilabel sebagai individu dikehendaki polis dan perkara itu disedarinya sebaik saja dia melepas bahagian imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Semasa saya melepasi imigresen, lampu merah terus menyala sebaik saya memasukkan pasport yang menunjukkan bahawa saya adalah orang dikehendaki.

"Saya kemudian dibawa ke balai polis lapangan terbang di mana saya ditahan selama dua jam,” katanya.

Menurutnya, dia telah berjanji dengan polis akan menyerahkan dirinya di Bukit Aman setelah tujuh hari kuarantin.

Untuk rekod, pada Jumaat lalu, Namewee telah membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia menerusi satu video.

Namewee mengatakan dia akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis.

"Saya tidak mengalami trauma atau kecederaan dalaman, tidak ada masalah mental, dan tidak berniat untuk membunuh diri.

"Yang paling penting, saya ingin meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Seniman membuat laporan polis terhadap filem ‘Babi’ karya Namawee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee yang ditayangkan di luar negara kerana dipercayai mempunyai unsur perkauman.

Setiausaha Agung Seniman, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata selepas menonton klip video filem itu, secara peribadi beliau berpendapat terdapat unsur-unsur perkauman di dalam filem itu meskipun dikatakan ia dibuat berdasarkan kisah benar.

Menurut Hafiz, pihaknya bersikap terbuka bagi mana-mana pihak di negara ini yang mahu menerbitkan sebarang filem, namun ia harus berpandukan garis panduan ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Lembaga Penapis Filem.
#Viral #Polis #Namewee #FilemBabi
;