“Sebak Di Dada, Macam-Macam Perasaan Bila Naik Ambulance” – Ashraf Muslim Positif COVID-19

Mya Amri
April 15, 2020 06:34 MYT
Pelakon Ashraf Muslim disahkan positif COVID-19.
Berita itu dimaklumkan sendiri oleh Ashraf menerusi posting terbaru di akaun Instagramnya sebentar tadi.
Posting itu juga turut disertakan dengan video berdurasi 3:00 minit yang merakamkan perjalanan Ashraf selepas diambil oleh ambulans dan di bawa ke hospital.
Menurut Ashraf, dia reda dengan dugaan penyakit yang diberikan kepadanya dan menganggap ada hikmah disebalik kejadian tersebut.
“Tanggal 12hb April 2020 menjadi jawapan bagi AM tentang keputusan sample COVID-19. Ya, saya dijangkiti virus COVID-19.
“Sewaktu itu walaupun sebak di dada bila mendapat tahu jawapan tapi saya reda dengan pilihan Allah… Ada hikmah disebaliknya.
“Datang perasaan gementar dan macam-macam perasaan timbul bila masuk dalam ambulance (itu yang sampai berpeluh-peluh tu).
“Maafkan saya ahli keluargaku, sahabat-sahabat dan rakan-rakanku. Dan tolong, tolong doakan yang baik untuk saya dan pesakit-pesakit di sini dan juga kita semua, semoga Allah jauhkan wabak ini dan tidak berterusan lagi serta sihatkan kita semua.
“Di sini juga saya memohon maaf kepada rakan-rakan wartawan yang cuba menghubungi saya sebelum ini, ya lah… Harap faham dengan situasi saya sekarang ni.
“Tak lupa juga pada frontliners doktor-doktor, MA, jururawat-jururawat dan mereka yang terlibat, terima kasih anda semua hero kami.u all are our hero.
“To mama, ibu, Sarah, Adam, Anas dan Safiyyah doakan ayah sungguh-sungguh supaya clear dari COVID ni cepat ya. Supaya kita dapat jumpa ramai-ramai.
“Ayah rindu sangat tapi jangan risau ya ayah okay kat sini sihat dan boleh solat dan baca quran macam biasa.
“Sama-sama kita berperasangka baik pada Allah… Hanya DIA yang berikan penyakit dan dari DIA jua yang memberikan kita kesembuhan... Allahualam… Assalamualaikum wbt,” coretnya.
Terdahulu, Ashraf merupakan selebriti ketiga disahan positif COVID-19 selepas Puetri Aishah dan PU Riz.
Difahamkan Ashraf baru pulang daripada menjalani penggambaran drama bersiri di Scotland bersama Ben Amir, Puteri Aishah dan Hasnul Rahmat hujung bulan lalu.
#Ashraf Muslim #COVID-19