Seorang YouTuber luar negara tidak dapat menahan sebak apabila video reaksinya telah dikongsi semula di Instagram penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, petang semalam.

YouTuber dikenali sebagai Clevy Umoh itu pada awalnya telah membuat naik satu video reaksi terhadap muzik video Siapa Tak Mahu nyanyian Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa Tokti.

Video itu kemudian telah sampai ke pengetahuan Tokti lalu dikongsi terus ke Instagramnya.

BACA: The Power of Tok Ti! Dipuji Orang Luar, MV Siapa Tak Mahu Mencecah 800 Ribu Tontonan Kurang 24 Jam

Seronok tgk reaksi orang luar bila buat reaction lagu kita. Betullah, muzik itu boleh menyatukan walaupun kita tak faham pun apa maksudnya. Thank you for the positive reviews, Clevy.❤️❤️ @clevy_umoh #Repost @fivexull with @make_repost ・・・ Siti Nurhaliza - Siapa Tak Mahu (Official Music Video) Reaction By : Clevy Umoh Reactions YouTube

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk) on

Menyedari video tersebut telah mencuri perhatian penyanyi kesayangan Malaysia itu, individu berkenaan kemudian membuat satu lagi video penghargaan di saluran YouTubenya.

“Terima kasih, saya sangat gembira. Terima kasih Siti Nurhaliza kerana membuat video yang sangat menarik untuk ditonton.

“Saya harap video ucapan ini sampai ke pengetahuan dia (Tokti). Terima kasih juga kepada penonton YouTube Malaysia.

“Saya tak tahu nak cakap apa, saya sangat sebak ketika ini,” katanya yang turut mengalirkan air mata.

Anda boleh lihat video tersebut di bawah.

Sementara itu menerusi ruangan komen di Instagram Tokti, terdapat juga yang menganggap YouTuber ini kebanyakannya membuat reaksi hanya untuk mengambil kesempatan mendapatkan jumlah tontonan.

Namun, menurut Tokti, dia hanya mahu mengambil perkara yang positif supaya muzik Malaysia dapat diperdengarkan di seluruh dunia.

“Saya ambil yang positif yang lagu-lagu saya dan penyanyi lain dari Malaysia diperdengarkan di luar.

“Ini salah satu cara mereka mengenali muzik dari tempat kita,” katanya membalas komen tersebut.

Untuk makluman, sehingga artikel ini ditulis, video muzik Siapa Tak Mahu yang dimuat naik dua hari lalu telah pun mencapai jumlah tontonan hampir 900,000.

Video muzik itu turut menampilkan pelakon kacak Hun Haqeem dan aktres Mira Filzah.