“Sebanyak 29.2% Orang Dewasa Di Malaysia Mengalami Masalah Mental” - Pakar

Izwan Isa
Oktober 23, 2021 13:40 MYT
Sejak drama I-Tanggang disiarkan, banyak maklum balas positif yang dikongsikan oleh penonton mengenai drama tersebut.
Selain pujian terhadap lakonan mantap para pemain utama, penonton juga dapat belajar tentang hal-hal rumit mengenai masalah mental yang ada dalam masyarakat, khususnya penyakit Munchausen Syndrome by Proxy (MSBP).
Melihat pada situasi tersebut, kerelevanan isu kesihatan mental dalam masyarakat Malaysia boleh dikatakan cukup ampuh. Menurut Pakar Psikiatri & Pensyarah, Jabatan Perubatan Psikologi, Universiti Malaya, Dr Lim Poh Khuen, hal ini dibuktikan menerusi kaji selidik yang mendapati sebanyak 29.2 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami masalah mental.
“Mengikut kaji selidik, angka yang dinyatakan masih lagi meningkat dengan masalah kemurungan merupakan salah satu masalah mental yang lazim dijumpai. Dari drama ini, kita boleh nampak bahawa masalah mental tidak membezakan sosial status, umur, jantina, pekerjaan, dan latar belakang seseorang.
“Dalam kehidupan kita, mungkin kita pernah mengalami situasi yang sama, atau berjumpa dengan orang yang mempunyai masalah mental, tetapi disebabkan oleh stigma dan kurang pengetahuan mengenai penyakit mental, maka ramai yang tidak tampil ke depan untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Dr Lim turut menjelaskan, masalah mental yang terabai boleh memberi kesan negatif kepada si penderitanya.
“Sekiranya penyakit mental diabaikan, ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada individu tersebut dan juga orang di sekelilingnya, seperti dalam drama ini.
“Jika masalah mental dikesan pada tahap awal, dan rawatan diberi dengan segera, implikasi penyakit mental mungkin berkurangan, dan individu tersebut boleh berfungsi dengan lebih elok dan normal,” katanya lagi.
I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.
Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.
Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofea, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.
Kredit foto: Nik Shuliahin (Unsplash)
***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!
#I-Tanggang