Sebarkan Aura Positif, Hael Husaini Muncul Dengan Senyuman Ramadan

Kamaruddin Razal
April 10, 2020 14:45 MYT
Penyanyi dan komposer Hael Husaini bakal muncul dengan sebuah lagu terbaru berjudul Senyuman Ramadan bersempena kempen Ramadan Raya Astro 2020.
Selaras dengan tema 'Kukuhkan Jalinan, Indahkan Senyuman', lagu tersebut bakal dilancarkan pada 14 April ini menerusi program MeleTOP.
"Insya-Allah, lagu itu bakal dilancarkan tidak lama lagi. Saya mencipta serta menerbitkan lagu terbabit bersama MFMF.
"Senyuman Ramadan merupakan sebuah lagu yang mengajak orang ramai menyebarkan aura positif tak kira dalam apa jua situasi," kata Hael.
Hael mendedahkan perkara ini menerusi sesi Instagram Live eksklusif bersama Astro Gempak sebentar tadi yang dihoskan oleh pengacara program Gempak TV, Daniel Cheang.
Dalam pada itu, Hael mengalu-alukan penyertaan orang ramai yang mahu muncul dalam muzik video Senyuman Ramadan.
"Kepada mereka di luar sana yang mahu muncul dalam muzik video lagu ini, kongsikan wajah senyuman menarik anda bersama rakan-rakan atau ahli keluarga di laman Instagram.
"Jangan lupa untuk tag akaun saya, @haelhusaini dan gunakan hashtag #SenyumanRamadan #KukuhkanJalinan #IndahkanSenyuman.
"Insya-Allah, senyuman manis anda semua bakal dimuatkan dalam muzik video lagu ini," kata Hael lagi.
#Hael Husaini #Ramadan Raya #Senyuman Ramadan