GAYA HIDUP

Sebelum Beli Rumah Untuk Disewakan, Ambil Kira 5 Kos Ini Dulu

Asyraf Roslan 09/08/2025 | 05:55 MYT

Ramai beranggapan beli rumah untuk disewakan adalah jalan pintas untuk dapat ‘passive income’.

Namun menurut pendidik kewangan, Faiz Azmi realitinya tidaklah semudah itu.

Faiz berkongsi 5 kos tersembunyi yang ramai terlupa atau tak ambil kira apabila membeli rumah untuk disewakan.


1. Capital Expenditure - Kos awal beli rumah sangat tinggi

Ramai tidak sedar bahawa membeli rumah memerlukan modal yang sangat besar. Ini termasuk bayaran pendahuluan, yuran guaman, dan duti setem yang jumlahnya boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Bukan itu sahaja, ada juga kos tidak langsung seperti peluang melaburkan wang tersebut di tempat lain seperti ASB yang boleh memberi pulangan tetap setiap tahun.


2. Kos Sediakan Rumah

Sebuah rumah kosong tidak semestinya boleh terus disewakan. Pemilik perlu mengeluarkan duit untuk memasang langsir, lampu, kipas, membina kabinet dapur dan mungkin juga membeli beberapa perabot asas. Tanpa kemudahan ini, agak sukar untuk menarik minat penyewa yang berpotensi.




3. Kos Masa & Tenaga

Jika anda memilih untuk menguruskan rumah sewa sendiri, bersedialah untuk menerima panggilan dan mengurus sesi lawatan dengan penyewa. Jika menggunakan khidmat ejen hartanah, anda perlu membayar komisen sekurang-kurangnya satu bulan sewa. Itu pun tidak menjamin rumah akan sentiasa ada penyewa. Ada bulan mungkin kosong, tetapi ansuran bank tetap perlu dibayar.


4. Rental Gap

Ini terjadi apabila rumah sudah siap untuk disewakan tetapi masih belum ada penyewa. Ejen mungkin mengambil masa untuk mencari penyewa, dan kadang-kadang penyewa hanya bersedia untuk masuk pada bulan berikutnya. Dalam tempoh itu, pemilik rumah perlu menanggung bayaran bulanan pinjaman tanpa sebarang pendapatan sewa masuk.


5. Kos Sepanjang Penyewaan

Masalah rumah seperti paip bocor, lampu rosak atau peralatan yang pecah adalah perkara biasa. Dalam kebanyakan kes, penyewa akan menghubungi pemilik untuk membaikinya. Jika tiada bukti kerosakan itu disebabkan penyewa, semua kos pembaikan perlu ditanggung oleh pemilik. Ini termasuk bayaran servis, kos alat ganti, malah masa dan tenaga juga habis.

Banyak faktor perlu dipertimbangkan secara serius sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah sebagai sumber pendapatan sewa.

Jika tidak, pemilik rumah mungkin terpaksa berhadapan dengan lebih banyak tekanan daripada pulangan yang dijangka.
#Beli Rumah #Rumah sewa #Kos