Hiburan
Sebelum Beraksi Di Konsert Reunion Dewa 19, Ini Pesan Ahmad Dhani Kepada Anaknya...
Pengasas kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani sempat memberikan pesanan kepada anaknya, Dul Jaelani yang bakal menggantikannya di Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia Fest Ari Lasso & Once Mekel yang bakal berlangsung pada malam ini.
"Selepas bapa saya dijatuhkan hukuman, dia mahu saya menggantikannya dalam konsert reunion ini. Dia berpesan agar saya membawa semangatnya dan memberikan yang terbaik di sepanjang konsert berlangsung.
"Sejujurnya, saya sendiri rasa bangga kerana dapat berkongsi satu pentas dengan kumpulan popular ini. Perasaan itu sukar untuk diungkapkan kerana saya rasa sangat berbesar hati.
"Kata bapa saya lagi, saya perlu mengambil peluang ini untuk menampilkan kebolehan muzik yang saya ada. Segala semangat dan pesanan bapa akan saya ingati dan saya bawakan dalam persembahan nanti," kata Dul.
Dul ditemui ketika sesi latihan Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia Feat Ari Lasso & Once Mekel di Stadium Melawati, Shah Alam semalam.
Majlis Hakim Mahkamah Negeri Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Dhani.
Menerusi laporan media Indonesia, ketua majlis berkenaan, Ratmoho menjatuhkan hukuman tersebut ekoran tiga entri yang dikongsi Dhani di laman Twitter berbaur hasutan dan membangkitkan rasa kebencian terhadap individu dan kumpulan.
Majlis Hakim turut memerintahkan Dhani untuk ditahan dan berdepan dengan hukuman penjara.
Di konsert malam ini, Dewa 19 bakal membawakan 35 buah rangkaian lagu popular untuk menghiburkan peminat di Malaysia.
Kumpulan Andra & The Backbone akan membuka konsert yang bermula pada jam 8.30 malam ini.
Must-Watch Video