Bekas personaliti TV, Azrinaz Mazhar Hakim berkongsi luahan rasa mengenai sikap sesetengah masyarakat yang suka mengajukan soalan peribadi kepada pasangan baru berumah tangga.

Azrinaz, 40, menerusi hantaran di Instagram berkata, antara soalan yang sering diajukan kepada pasangan sudah berkahwin ialah mengenai anak.

“Antara soalan yang sering didengar, dah ada isi ke belum? Tak nak anak ke? Bila nak ada baby? Tak jumpa doktor pakar ke?

“Di zaman millenial ini, soalan berbentuk family planning ada baiknya dibiarkan sahaja kepada pasangan terbabit untuk menentukan corak masa depan mereka. Kerana saya yakin, suami isteri itu sendiri lebih mahir memilih keutamaan mereka.

“Setiap soalan tentang anak akan membawa persepsi kegagalan si isteri atau suami menghasilkan benih atau dengan kata lain ‘mandul’,” katanya.

Tambah Azrinaz lagi, dia pernah menghadiri majlis ‘baby shower’ seorang selebriti terkenal dan artis wanita tersebut turut sinis bertanya tentang anak kepadanya.

“Suami menghadiri majlis baby shower selebriti terkenal. Si artis perempuan ini tanpa segan silu memberikan kata sinis ‘hang bila lagi?’ dengan mimik muka seperti dirinya berjaya kerana bakal melahirkan anak kedua kelak. Suami hanya menjawab doakan kami, sedangkan saya sudah disahkan hamil.

“Terlintas di fikiran saya, apa perasaan sekiranya insiden ini terjadi kepada pasangan yang sedang bertarung nyawa dengan masalah kesihatan seperti kanser, penyakit kronik, kesempitan wang, yang belum bersedia, tuntutan komitmen kerja mahupun kepada pasangan yang sedang sedaya upaya berusaha?’

“Tindakan mereka seolah-olah tidak peka kerana saya percaya, tidak semua masalah perlu dikongsikan tanpa perlu campur tangan pihak luar.

“Pokoknya, sebelum bertanya mengapa dan bila? Adalah lebih baik kita selami soalan itu untuk mengekalkan manis dan adab, kerana zuriat adalah kerja Tuhan,” luahnya.

Azrinaz pada Jun lalu mengesahkan dirinya hamil enam bulan.

Kehamilan tersebut merupakan yang ketiga dan yang pertama menerusi perkahwinan keduanya dengan Fairos Khan Abdul Hamid terhasil tanpa bantuan teknologi moden.