Penyanyi popular, Dayang Nurfaizah akui kerap ditanya soal perkahwinan sejak kebelakangan ini.

Menurut Dayang, kengkangan waktu dalam pekerjaan merupakan salah satu faktor dia tidak membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujang.

"Sebelum ini saya tak terfikir untuk kahwin sebab sibuk dengan kerja. Kerjaya seorang penyanyi bukan seperti orang bekerja di pejabat, waktu kerjanya sangat berbeza.

"Selain itu, kerja saya juga sentiasa berada di mata peminat, kadang-kadang ada rasa tertekan dan takut tersalah pilih pasangan.

"Saya faham orang akan selalu tanya sebab saya perempuan, kadang-kadang rasa sedih juga apabila ditanya sebegitu," kata Dayang kepada Gempak.

Dalam pada itu, pelantun lagu Di Pintu Syurga ini menambah, dia menyerahkan soal jodoh sepenuhnya kepada Tuhan.

"Saya menyerahkan soal jodoh ini sepenuhnya kepada Tuhan, sudah tentu saya mengharapkan yang terbaik untuk diri saya, mungkin sebelum ini keadaan tidak mengizinkan," katanya lagi.



Dalam perkembangan lain, Dayang bakal tampil bersama Datuk Jamal Abdillah dalam Konsert Amal Alunan Irama yang akan berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 11 April 2020 jam 8.30 malam.

Konsert ini merupakan anjuran bersama antara Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak, Persatuan Karyawan Malaysia, Istana Budaya dan Educaring Team Pejabat Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ia bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu golongan yang memerlukan di samping memberi peluang kepada golongan Asnaf, B40 dan orang kelainan upaya (OKU) untuk sama-sama menyaksikan konsert ini di Istana Budaya.

Di samping itu, sebahagian dana akan disumbangkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia untuk membantu kebajikan ahli di dalamnya.

Harga tiket dijual pada harga RM100, RM170, RM270 dan RM370 menerusi www.myticket.asia mulai 10 Mac 2020.