Laman Utama

“Sebelum Masuk Big Stage Saya Bercinta, Tapi…” – Lagu ‘Tak Kira’ Kisah Dr.Hafiz Putus Cinta & Dah ‘Move On’!

gempak
Fiza Kamarudin
27/10/2021
13:30 MYT
Sponsor Banner
“Sebelum Masuk Big Stage Saya Bercinta, Tapi…” – Lagu ‘Tak Kira’ Kisah Dr.Hafiz Putus Cinta & Dah ‘Move On’!
Bekas bintang program realiti Big Stage, Dr. Hafiz Zainal mengakui single terbaru berjudul ‘Tak Kira’ merujuk kepada kisah cintanya dan bekas kekasih.
Bagaimanapun menurut Dr Hafiz, lagu bergenre pop balada itu bukanlah lagu yang meratap kesedihan, tapi lebih kepada sudah bersedia bercinta semula atau dalam erti kata lain ‘move on’.
“Sebelum masuk program Big Stage saya bercinta dengan seseorang. Namun, beberapa bulan selepas menyertai program itu, kami putus cinta. Hubungan saya dengan wanita itu hanya bertahan hampir setahun. Diakui memang kecewa.
“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada kerjaya doktor gigi dengan membuka klinik gigi sendiri,” katanya.
Kata Dr Hafiz, selepas program Big Stage dia muncul dengan beberapa single di bawah syarikat Rhythm & Rhyme Entertainment, milik pasangan suami isteri juga penyanyi, Akim Ahmad dan Stacy.
Menariknya, menerusi lagu ‘Tak Kira’ ciptaan Bunga Cantik itu, Dr Hafiz diberi peluang untuk menjadi penulis lirik bersama Bunga Cantik dan Hang Nadim.
“Nak dijadikan cerita, saya pula selalu lepak dengan Akim dan Stacy. Sedikit sebanyak mereka memang tahu cerita dan apa saya lalui.
“Disebabkan itu, ketika lagu ini dihasilkan, mereka terus minta saya tulis lirik supaya ‘feel’ lebih terasa. Saya pun cuba dan alhamdulillah berjaya menghasilkan lirik pertama,” katanya.
Dalam masa sama, Dr Hafiz menyifatkan lagu itu memberi satu perasaan baru untuknya lebih bersemangat dalam mencari cinta.
“Ini masa saya untuk mencari cinta baru. Apatah lagi dalam lagu ini saya meletakkan diri rindu nak bercinta semula. Lagi pula saya sudah 29 tahun. Orang lain semua sudah ada kekasih dan pasangan hidup.
“Sekarang hati sudah terubat dan bersedia nak kembali bercinta. Buat apa nak terus bersedih. Jadi saya kena mulakan semula. Sebab itu saya nak kongsi dalam lagu ini. Saya mahu penyampaian lebih jujur.
“Andai kata bekas kekasih mendengar lagu ini, dia takkan faham dan tahu ini kisah kami. Sebab ini bukan lagu sedih putus cinta, tapi lebih kepada ‘feel’ sudah ‘move on’ dan sepertinya sudah ada kekasih baru,” katanya.
Jangan lupa undi artis kegemaran korang di AME 2021! Klik jer banner ni! Dr Hafiz juga mengakui, lagu Tak Kira ini turut menceritakan pengalamannya ketika menaruh hati dengan kawan baik.
“Lirik lagu ini pun turut menceritakan pengalaman saya dengan seorang kawan baik. Kiranya kawan baik saya itu adalah ‘crush’ saya. Apabila kami berjumpa semula, cinta itu kembali berputik. Tapi sebenarnya tak boleh, kerana akhirnya sesuai berkawan saja.
“Kiranya, menerusi lagu ini saya kena ‘move on’ untuk dua perhubungan sebelum ini. ‘Move on’ dengan dengan kawan dan cinta selepas Big Stage. Harapnya selepas ini, saya dapat menemui orang lain,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai lagu Tak Kira, Dr Hafiz berkata buah tangan terbaharunya itu adalah jiwa sebenarnya.
“Sebelum ini kebanyakan single saya susunan muzik adalah ‘influence’ band. Tapi, untuk lagu Tak Kira ini ia lebih lembut dan memang bunyi balada. Muzik lagu ini adalah jiwa saya. Saya harap orang dapat rasakan apa yang saya sampaikan,” katanya.
Single keenam berjudul Tak Kira sudah dilancarkan serentak dengan video muzik sejak 15 Oktober lalu di saluran YouTube Rhythm and Rhyme Entertainment.
“Diakui ia lebih mudah sebenarnya, sebab jalan cerita saya. Secara tidak langsung mengembalikan semula memori dan kenangan yang pernah dilalui. Itu yang lebih mudah. Jadi, saya berharap peminat dan pencinta muzik tanah air dapat menerima karya ini,” katanya.
***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live