Laman Utama
“Sebelum Mobile Legend Wujud, Ni Lah Game Budak Sekolah Dulu” -Kenangan! Ini Antara Gajet ‘Rare’ Dalam Projek: Anchor SPM
Drama bersiri premium terbitan Astro Originals, Projek: Anchor SPM telah pun ditayangkan bermula minggu lalu.
Projek: Anchor SPM boleh dikatakan antara yang ditunggu-tunggu kerana dianggap bakal membawa perubahan dalam ‘scene’ drama tempatan.
Malah, penulis juga teruja untuk menyaksikan Projek: Anchor SPM episod satu dan dua. Betul kah bagus seperti dikatakan?
Namun, apa yang lebih menariknya, dalam pada pengarah menitik beratkan isu pelajar sekolah dan meniru, terselit juga elemen yang membuatkan penonton mengimbau kenangan lama.
Antara yang menarik perhatian penulis sudah tentunya gajet lama yang dibawa masuk ke dalam drama ini.
Ye lah, latar belakang drama ini pun berlaku pada 2003, tak logik pula jika pakai iPhone kan?
Jadi Ini antara gajet yang terlintas menerusi episod 2 semalam.
#1 CD Walkman
Pada yang tidak tahu, pada lewat 1990-an, pengeluaran model kaset khususnya jenama Walkman telah berkurang.
Ini kerana ia telah digantikan dengan model-model CD Walkman dan MiniDisc Walkman.
Pada awalnya barisan model pemain CD peribadi keluaran Sony dikenali sebagai Discman, tetapi kemudiannya dikenali sebagai CD Walkman pada penghujung 1990-an.
Model-model CD Walkman dan MiniDisc Walkman sangat berjaya dan mendapat sambutan yang hangat dalam masa beberapa tahun selepas mula dilancarkan.
Ada yang masih simpan Discman ni lagi?
#2 Pemain MP3
Menerusi episod dua semalam, Helmi lakonan Nadhir Nasar telah menyerahkan Discman kepada Aizat (Aedy Ashraf).
Namun, apabila Aizat memberitahu dia akan memulangkan kembali Discman itu, Helmi dengan bangganya menolak sambil mempamerkan gajet pemain MP3 terbarunya.
Ini mungkin antara simbolik tenggelamnya zaman Discman selepas diganti dengan pemain MP3.
Pemain MP3 atau pemain audio digital ialah sebuah alat elektronik jenis pemain media mudah alih yang berkebolehan memainkan fail-fail audio digital.
Ada beberapa format audio digital yang mampu diproses seperti MP3, Audio Media Windows (Windows Media Audio, WMA) dan Pengekodan Audio Lanjutan (Advanced Audio Coding, AAC).
Jika sebelum awal kemunculan, Pemain Mp3 berharga hampir RM300, namun ia kemudian menjadi murah hingga boleh dibeli dengan harga kurang RM50.
#3 Nokia 3310
Telefon ‘legend’ ini agak kerap muncul dalam Projek: Anchor SPM, malah sejak episod pertama lagi.
Paling menggamit kenangan apabila Aizat terpaksa mencari kad top up untuk menambak baki kredit.
Mungkin ramai yang terkenang kisah lama apabila ketika itu tiada lagi aplikasi WhatsApp, Facebook mahupun TikTok.
Untuk makluman, Nokia 3310 ialah sebuah telefon bimbit yang iperkenalkan pada suku keempat 2000.
Model ini menggantikan jenis Nokia 3210.
Jualan telefon sangat bagus dan menjadi antara telefon paling berjaya dengan 126 juta telefon terjual.
Apapun penulis tidak sabar menantikan apa lagi gajet yang bakal dibawa dalam episod yang akan datang.
Sehingga bertemu lagi dalam #SembangGajet minggu depan.
Sekadar info, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.
Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM.
Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.
Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.
Saksikan Projek: Anchor SPM yang ditayangkan di saluran Astro Citra setiap Isnin, jam 9.00 malam.