Hiburan
"Sebelum Wujud Douglas Lim, Saya Satu-Satunya ..." - Harith Iskander
Pelawak, Harith Iskander yakin dengan legasi karier komedi yang dibinanya selama 35 tahun berbeza daripada apa yang dihadapi oleh pelawak masa kini.
Menurut Harith, atau nama sebenarnya Harith Iskander Musa, 58, dia tidak berniat untuk bermegah dengan kejayaan yang dikecapinya hasil usaha sendiri.
Namun, dia berkongsi perjalanan kariernya yang bermula dari bawah pada era tanpa media sosial tidak sama dengan situasi yang dihadapi oleh pelawak hari ini.
"Saya bagi perumpamaan, waktu dulu, kita ada penyanyi paling terkenal dunia Michael Jackson, Mariah Carey atau Whitney Houston. Dulu orang tahu pasal muzik dari radio, TV, album dan kaset.
"Sekarang, ia takkan terjadi di mana ada penyanyi yang semua orang tahu. Saya tak kenal orang yang sangat popular dan digilai bekas isteri serta anak-anak saya misalnya. Sebabnya, mereka hanya popular dalam algoritma (media sosial) mereka
"Bagaimana mahu jadi macam saya? Takkan terjadi kerana saya adalah satu-satunya sebelum Douglas Lim, Kavin J. Sekarang, yang naik popular silih berganti. Perjalanan tidak sama.
"Menerusi klip pendek 10 saat hingga ke satu minit, mereka rai jutaan tontonan dan terus popular. Kemudian, bahan seterusnya dapat tontonan rendah, mereka tidak pandai kawal populariti dikecap itu," katanya kepada Gempak.
Harith Iskander ditemui di Dewan Filharmonik Petronas pada sidang media DFP Punchline: Harith Iskander, pada Rabu.
Berbicara tentang pelawak masa kini yang ingin menjadi seperti dirinya, menurut Harith, perkara itu tidak perlu berlaku kerana apa yang membentuk dirinya adalah pengalaman peribadi yang telah dilaluinya.
“Macam mana mahu menjadi seperti saya? Ia tidak akan terjadi sebab pada suatu ketika dahulu, saya hanya seorang sahaja tidak termasuk Douglas Lim, Kavin J dan ramai lagi kerana pada ketika itu hanya salah seorang sahaja buat komedi stand up.
“Sekarang bila seorang sahaja yang famous yang lain tidak akan popular. Ia akan membuatkan perkembangan dan perjalanan itu tidak sama membuatkan ianya tidak ada diri saya dari sisi yang lain,” jelasnya.
Namun begitu, Harith mengambil Mad Sabah sebagai salah satu contoh terbaik kerana baginya, tiada sesiapa yang akan menggantikan tempat Mad Sabah suatu hari nanti.
"Saya gunakan Mad Sabah sebagai contoh. Dia pasti akan menjadi satu-satunya Mad Sabah. Tiada akan ada yang menggantinya kecuali datang pelawak perkampungan kecil asal Sarawak pula.
"Saya sudah tengok ramai pelawak kelahiran YouTube yang 'hancur' apabila buat persembahan secara langsung. Di YouTube mereka kelakar sebab videonya boleh disunting.
"Begitu juga pelawak yang tak kelakar di YouTube, tapi bila tengok depan-depan memang kelakar. Kenapa? Sebab penonton bagi energi.
"Terutamanya sewaktu saya mulakan The Joke Factory, saya cuba menggalakkan beberapa pengamal YouTube dan TikTok yang kelakar. Saya ajar bagaimana tukar bahan mereka kepada persembahan secara langsung," ulasnya.
Sekadar info, Harith Iskander bakal menemui penonton di DFP Punchline: Harith Iskander pada 25 Januari depan, jam 8 malam di Dewan Filharmonik Petronas.