Cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob, 40, mendedahkan isterinya, Datin Azrene Ahmad, 38, kurang bersetuju dengan cadangan untuk bersanding sekali lagi.

"Pada awalnya, isteri saya tak nak bersanding sekali lagi. Dia merupakan seorang yang sangat 'private'. Dia sering berada di rumah dan keluar hanya untuk bekerja. Dia memilih untuk tidak berada dibawah 'limelight'.

"Namun begitu, selepas saya jelaskan tujuan bersanding semula adalah untuk merealisasikan hajat dan wasiat arwah bapa saya, Datuk Yaakob Muhammad yang mahu kami bersanding semula, dia akur dan menerima perkara ini dengan hati yang terbuka.

"Arwah bapa mahukan kami bersanding dan mencipta memori manis baru kerana 13 tahun lalu, banyak kenangan pahit yang kami tempuhi," katanya.

Dihadiri oleh lebih 350 orang tetamu dari kalangan keluarga, teman rapat dan rakan media, Fazley dan Azrene diraikan di Lanai Tamu Event Hall, Damansara Perdana malam tadi.

BACA: Tunai Hajat Arwah Bapa, Ini Foto Menarik Sekitar Majlis Persandingan Fazley & Azrene... Meriah!

"Pesan bapa, apabila masa itu mengizinkan, bersandinglah semula dan cipta kenangan baru dengan isteri saya kerana dia amat menyayanginya.

"Jika dahulu, terlalu banyak kekangan yang rakan-rakan hadapi untuk hadir ke majlis persandingan kami. Pihak media juga tidak dibenarkan membuat liputan.

"Alhamdulillah, kami berjaya menunaikan apa yang arwah bapa inginkan. Saya dan isteri rasa lega kerana dapat menyudahkan amanat arwah bapa," kata Fazley.

Berkahwin pada 13 tahun lalu, Fazley dan Azrene dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz, 10, Ahmad Fieradz, 8, Ahmad Fierudz, 7 dan Alayna Selma, 1.