Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

"Sebenarnya Lagu Ini Untuk Nur Tahun Lepas Tapi ..." - Indah Ruhaila Lancar Muzik Video Pudar Malam Ini

Amri Hassan
08/04/2019 08:24 MYT
Penyanyi Indah Ruhaila mendedahkan telah mendapat tawaran untuk menyanyikan lagu Pudar untuk dimuatkan dalam drama bersiri Nur tahun lalu.

Bagaimanapun, bintang AF Megastar itu terpaksa menolak atas masalah kesihatan dan jadual yang padat.

"Sebenarnya, lagu ini pernah ditawarkan kepada saya untuk dimuatkan dalam OST drama ‘Nur’ edisi pertama.

"Tetapi atas sebab kesihatan dan jadual yang tidak mengizinkan, saya terpaksa menolak. Namun sudah tertulis memang rezeki saya untuk mendendangkan lagu ini," katanya.

Ulas Indah, lagu ciptaan sepenuhnya Amylea Azizan itu sangat unik dan menyentuh hatinya ketika pertama kali mendengar.

“Pertama kali mendengar lagu ini, saya cukup terusik dengan melodi dan liriknya.

"Apatah lagi apabila saya diberitahu Amylea bahawa lagu ini asalnya ditulis khas untuk watak ‘Nur’ berdasarkan plot untuk edisi pertama drama tersebut.

"Saya berharap apa yang lagu ini cuba sampaikan, saya berjaya terjemahkan menerusi nyanyian saya. Sekiranya ada yang menyatakan nyanyian saya ini berjaya menyentuh hati mereka," tambahnya.

Sementara itu, sempena pelancaran muzik video rasmi Pudar, Indah bakal mengadakan persembahan akustik live menerusi YouTube Nova Music Videos pada pukul 8 malam ini.

Penonton bakal disajikan dengan persembahan akustik istimewa lima buah lagu diselangi sesi soal jawab bersama peminat.

Manakala, muzik video rasmi Pudar akan dilancarkan tepat pada pukul 9 malam ini.
#Penyanyi #Penyanyi #Indah Ruhaila #Pudar