Penyanyi rock terkenal, Datuk Ramli Sarip mendedahkan bahawa dia pernah memasang impian untuk menjadi artis Melayu pertama membuat persembahan di Capitol Theatre, Singapura.

Ini kerana, katanya, sehingga kini belum pernah ada lagi artis Melayu yang membuat persembahan di pentas berprestij tersebut yang dibina sejak 1929.

"Saya ada banyak kenangan di sana. Di kawasan itu dulu ada kedai-kedai muzik. Kawasan itu cukup sinonim dengan rock kapak.

"Bahkan, dulu saya ada tanam cita-cita nak buat persembahan akustik di sana, namun rupa-rupanya, Lefthanded dapat peluang terlebih dulu," katanya sewaktu sidang media Konsert Lefthanded Seruan X Datuk Ramli Sarip Live in Singapore yang berlangsung di Subang Jaya, Selangor, semalam.



Begitupun, menurut Ramli dia menyifatkan peluang untuk membuat persembahan bersama Lefthanded yang akan diadakan pada 7 Mac depan sebagai satu penghormatan buatnya.

"Ada banyak kenangan saya bersama Lefthanded. Kami menghasilkan lagu bersama-sama. Apabila diajak bersama-sama membuat persembahan, saya rasa ia satu penghormatan buat saya.

"Inilah kekuatan muzik apabila dapat menyatukan kita semua," katanya.

Konsert tersebut diadakan bersempena empat dekad Lefthanded sejak penubuhannya pada tahun 1979.



Dalam konsert yang berlangsung selama kira-kira dua jam itu, beberapa lagu hits yang pernah menjulang nama mereka akan dipersembahkan.

Antaranya termasuklah lagu Seruan, Keadilan, Lanun, Debunga Wangi, Ku Di Halaman Rindu dan Tiada Kidungmu.

Menariknya, konsert itu nanti juga akan menampilkan anak bekas pemain dram Lefthanded, Man Dayak iaitu Hafiz.

Tiket bagi menyaksikan konsert itu bermula serendah $98.

Bagi maklumat lanjut mengenai konsert tersebut, anda boleh layari www.ogoffgrid.com