Gabungan penyanyi pop solo dan rapper bukan lagi asing dalam industri muzik tempatan. Malah, kebanyakan projek yang dihasilkan itu berjaya mendapat sambutan baik dari kalangan peminat.

Terbaharu, kerjasama antara rapper Filsuf dan Black yang pastinya bakal membawa satu lagi warna dan kejutan kepada seluruh pencinta muzik tanah air menerusi lagu Nafas Naga.

Menariknya, lagu Nafas Naga hasil ciptaan Filsuf dan lirik oleh Arisz Ab Rahman dan Filsuf ini adalah sebuah lagu khas yang dihasilkan untuk runut bunyi filem ‘Duan Nago Bogho’ yang bakal ditayangkan pada 19 Januari ini.

Selit loghat Kelantan

Filsuf yang juga dikenali sebagai Daly Ahli Fiqir berkata dia tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan melodi dan lirik lagu Nafas Naga.

“Apabila penerbit filem menawarkan saya untuk menghasilkan lagu tema atau runut bunyi bagi filem terbitan syarikatnya, idea itu datang secara spontan. Selepas saya membaca jalan cerita filem ini, saya terus mula menulis bahagian korus. Selepas itu, saya perdengarkan kepada mereka dan mereka menyukainya.

“Namun, mereka minta saya untuk selitkan loghat Kelantan dalam lagu ini memandangkan filem itu berlatarkan kisah Makyung yang terkenal di negeri berkenaan. Ketika itu, saya juga dimaklumkan pihak mereka menjemput Black untuk menyanyi bersama dalam lagu ini.

“Secara keseluruhan, saya ambil masa dua hari untuk menghasilkan lagu ini. Pendek kata, lagu ini dibuat berdasarkan jalan cerita filem ‘Duan Nago Bogho’. Ia bergenre hip-hop dan diselitkan eleman tradisional sedikit,” katanya.

Rakam balik sebab salah sebutan

Menurutnya, lagu Nafas Naga adalah kerjasama sulung bersama Black biarpun sudah lama saling mengenali. Filsuf berkongsi, proses rakaman dibuat secara berasingan iaitu dirinya di Singapura dan Black di Malaysia.

“Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Black. Lagu ini kami rakamkan secara berasingan. Alhamdulillah, semuanya okay dan tak ada masalah. Cuma, selepas selesai proses rakaman ada beberapa bahagian yang perlu ditukar dan diperbaiki iaitu dari segi sebutan.

“Umum mengetahui, saya dan Black bukan anak jati Kelantan, jadi sebutan pada bahagian lirik loghat Kelantan itu pada awalnya kurang tepat dan tak kena. Disebabkan itu, kami perlu rakamkan semula bahagian berkenaan,” katanya.

Filsuf berkata dia teruja apabila pihak penerbit turut menyukai lagu “Nafas Naga” ini.

11 tahun Black tunggu Filsuf

Sementara itu, Black berkata peluang bekerjasama dengan Filsuf sudah lama dinanti dan kesempatan diberikan itu tidak boleh dipersia.

“Sebenarnya, memang dari 2011 lagi saya sudah mengenali Filsuf. Malah, masing-masing ada hasrat nak berduet bersama. Jadi, bila dapat peluang bekerjasama, saya berasakan ini adalah masa yang sesuai untuk duet bersama dalam sebuah projek di mana lagunya hasil ciptaan Filsuf sendiri,” katanya.

Black berkata proses rakaman yang dijalankan secara berasingan itu merupakan sesuatu yang agak janggal bagi dirinya.

“Pengalaman merakamkan lagu ini sangat berbeza. Sebab kami buat rakaman berasingan di tempat masing-masing. Keadaan semasa ketika itu masih tidak mengizinkan untuk bersemuka. Kiranya agak janggal dan susah sedikit.

“Saya terpaksa menggunakan pengalaman sendiri untuk ‘feel’ lagu ini. Kebiasaannya sewaktu proses rakaman lagu saya, semua komposer akan ada sekali untuk ‘guide’ rakaman itu. Tapi kali ini tidak,” katanya.

Dalam masa sama, Black berkata lagu Nafas Naga sesuatu yang istimewa buat diri dan kerjayanya.

“Saya bersetuju untuk menerima tawaran merakamkan lagu ini kerana lirik dan melodi yang berbeza dari genre lagu yang saya bawa sebelum ini. Lagu ini ada eleman Makyong dalam nyanyian saya.

“Untuk lagu ini, saya berharap dapat diterima ramai kerana ini merupakan lagu duet buat julung kalinya bersama Filsuf. Malah, lirik lagu ini mempunyai maksud yang mendalam dan tersendiri,” katanya.

Lagu “Nafas Naga” nyanyian Filsuf & Black terbitan Nova Music kini boleh distrim di semua pelantar muzik digital dan video muzik rasmi lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’.