“Secebis Daging Pun Tak Keluar Daripada Muka”- Buat Rawatan Tanam Benang, Amelina Tahu Halal Haram!
26/10/2021 15:25 MYT
Ratu dangut Amelina tampil menjelaskan punca sebenar dia mengambil rawatan tanam benang atau ‘threadlift’, sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya dia melanggar hukum agama.
Menurut Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin, 47, berat badannya yang telah susut menyebabkan wajahnya juga menjadi ‘sagging’ atau kelihatan sedikit menggelebeh.
Menurutnya, rawatan ‘threadlift’ itu hanyalah bertindak untuk menambah kolagen sekali gus menjadikan wajahnya lebih tegang dan ‘firm’.
“Badan Kaklong dah banyak susut, jadi bila kita kurus, wajah akan susut sekali dan kulit pun akan jadi ‘sagging’ atau menggelebeh.
“Buruk dan sangat tak cantik dan tak firm. Kita bukan muda lagi if orang muda dia lain,” katanya.
Jelas Amelina lagi, dia juga tidak takut dikecam apabila secara terbuka berkongsi video rawatan berkenaan di Instagram miliknya.
“Kaklong tak takut dikecam tapi tak suka dikatakan menipu. Saya terus terang sebab nak motivate orang untuk rasa apa yang kaklong rasa dan lalui.
“Dah buat macam-macam habis ribuan ringgi tapi masih tak cantik. If orang muda memang mudah sebab metabolisma tinggi tapi dalam keadaan usia Kaklong, saya kena buat sesuatu untuk percepatkan apa yang kita buat.
“Contoh untuk kulit muka tu, tarik-tarik benang itu merupakan kolagen yang dimasukkan ke dalam bertujuan merangsang kolagen yang kurang ini untuk ‘bekerja’ semula.
“Pada masa sama barulah pakai skin care, maintan dalam dulu barulah di luar cantik,” katanya.
Tambahnya, dia juga akui ada sesetengah netizen kurang arif atau tidak mempunyai pengetahuan tentang rawatan ‘threadlift’ itu.
“Saya tahu halal haram, bukannya saya setiap hari nak buat, saya juga bukan jenis nak terus jadi cantik ubah wajah, koyakkan pipi, tambah tiang, operate segala, tidak.
“Rawatan ini ada jangka masanya, if pandai jaga makan, ambil suplement elok lah dia.
“Apapun janganlah buat bukan-bukan sampai jatuh haram. Buat muka, sekali buat dah jadi lain. Sampai masuk batang lah, sampai mati batang tu ada.
“Kalau kikis tulang, yang kikis tu nak tanam mana? Kaklong secebis daging pun tak keluar dari kulit muka.
“Semua itu pilihan, terpulang pada niat. Bukan nak bersaing dengan orang muda, tapi kita nak cantik dalam usia kita,” katanya kepada Gempak.
Terdahulu, perkongsian Amelina mengenai proses rawatan tanam benang atau ‘threadlift’ pada rahang dan hidungnya membuatkan ramai peminatnya ‘kecut perut’.
Menerusi perkongsian video di Instagram Amelina, penyanyi tersebut secara terbuka menunjukkan proses rawatan yang dikatakan agak ‘menyeramkan’ apabila wajahnya terpaksa dimasukan benang.
Difahamkan, sebanyak enam benang dimasukkan ke dalam rahang Amelina dan perkara itu sekali gus membuatkan ramai yang seriau melihat proses berkenaan.