Cuba keluar daripada zon selesa, penyanyi Anuar Zain kini dalam proses mencari material untuk album terbaharunya yang dijangka akan dilancarkan pertengahan tahun depan.

Menariknya kata Anuar, dia kini sedang tertarik dengan lagu-lagu balada dari negara Korea Selatan dan yakin untuk menampilkan konsep itu dalam album terbaharunya nanti.

"Baru-baru ini saya mulai jatuh cinta dengan lagu-lagu balada Korea dan mahu menyelitkan elemen itu dalam single akan datang.

"Kalau ada komposer yang mahu menawarkan lagu seumpamanya kepada saya, memang saya alu-alukan.

"Sebenarnya, lagu-lagu balada Korea punyai susunan muzik yang sederhana tetapi sedap dan mesra pendengar," ujarnya kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain, Anuar kini sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan menerusi produk pertamanya, Allevier Serum.

Produk yang telah dikeluarkan sejak hujung tahun lalu itu bakal menemui pelanggannya pertama kali pada acara Star Vendors Festival bulan Mei nanti.

"Sepanjang 30 tahun menyanyi saya tidak pernah mencuba sesuatu baharu, jadi apa salahnya saya berniaga pula kali ini.

"Produk serum ini membantu menjaga dan mengekalkan kelembapan kulit untuk nampak segar," katanya.