HIBURAN
“Sedap Pulak Lagu Ni, On Repeat!” – Netizen Puji Suara Teeya Nasution Nyanyi OST ‘Abah Saya Uncle Mike’
Penyanyi baharu, Teeya Nasution mencuri perhatian apabila muncul dengan single terbaharu berjudul 7 Huruf yang dipilih sebagai lagu tema rasmi (OST) filem Abah Saya Uncle Mike.
Lebih istimewa, lagu ini juga menjadi pengalaman pertama buat Teeya menyanyikan dalam bahasa Mandarin, sekali gus menonjolkan sisi yang berbeza dalam perjalanan seninya.
“Saya sangat bersyukur atas pelancaran single terbaru saya, dan amat berbesar hati apabila lagu 7 Huruf terpilih sebagai lagu tema OST Abah Saya Uncle Mike.
“Istimewanya, ini juga merupakan kali pertama saya menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah menjayakan single ini, terutamanya Ayah and Mama, Papi, Abg Syahmi, Uncle Amin, Untie Farhana dan keluarga besar saya yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti.
“Saya berharap lagu ini dapat menempatkan diri di hati anda semua dan jangan lupa untuk strim 7 Huruf dan 朋友 (Péng Yǒu) di semua platform digital,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen di media sosial, rata-rata netizen meluahkan rasa teruja dan memuji kelunakan vokal Teeya.
“Wow new artis boleh pegi jauh ni Congrats.
“Sedap pulak lagu ni, nice voice Teeya, keep it up.
“On repeat lagu ni,” komen beberapa netizen.
Lagu berkenaan diterbit, digubah dan ditulis oleh Archie Nasution dengan susunan muzik oleh Reza Ramsey (Bajai). Ia turut mendapat sentuhan pemuzik lain seperti Jaycugat (gitar), Yen (bass) serta Huzai (mixing/mastering) di Scfi Studio.
Muzik video pula diarahkan oleh Syahmi dengan produksi serta pasca-produksi daripada Educed Production Works.
Untuk info, filem bergenre drama itu akan ditayangkan bermula 28 Ogos ini.
Filem tersebut dibintangi oleh pelakon hebat seperti Andy Teh, Idan Aeden, Nor Merah, Nadiya Nissa, Umar Syakur dan ramai lagi.
Filem ini diangkat daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki yang membesarkan tiga anak Melayu yatim piatu sejak kecil, lengkap dengan kasih sayang dan bimbingan rohani termasuk penghormatan terhadap agama Islam.
Dedikasi Uncle Mike turut diiktiraf apabila beliau dianugerahkan Anugerah Maulidur Rasul 2024 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas jasa dan pengorbanannya yang luar biasa.
Terbitan Astro Shaw bersama Etika Sdn. Bhd., Abah Saya Uncle Mike mengetengahkan tema kekeluargaan, perpaduan dan kasih sayang merentas bangsa. Ia dibintangi Andy Teh bersama pelakon muda berbakat seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, dan turut menggunakan tiga bahasa, Melayu, Mandarin dan Kantonis.
Sinopsis Abah Saya Uncle Mike
Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang kejam bersama adik-adiknya. Namun, mereka akhirnya terpisah. Dalam perjuangan menyatukan semula keluarga, mereka dipertemukan dengan Uncle Mike, lelaki Cina berhati emas yang mengubah takdir hidup mereka.
Filem ini menegaskan bahawa keluarga bukan sekadar pertalian darah, dan kasih sayang sejati tidak mengenal kaum mahupun agama.