Sedih, 8 Buah Rumah Di Flat Sri Johor Terbakar
Belumpun reda dengan musibah banjir yang masih melanda beberapa negeri di seluruh Malaysia, negara dikejutkan dengan sebuah khabar kurang baik apabila beberapa unit kediaman di Flat Sri Johor, Cheras dilaporkan terbakar.
Berdasarkan laporan BERNAMA, sebanyak 8 unit kediaman di tingkat 5 Blok 31 Perumahan Awan Sri Johor tersebut dijilat api dalam kejadian yang berlaku malam tadi. Kebocoran gas dipercayai menjadi punca kebaran tersebut.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kebakaran berlaku pada kira-kira 9.20 malam dan operasi pemadaman sedang dijalankan.
Menurutnya kebakaran dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan sebelum merebak di keseluruhan tingkat.
"Setakat ini, pihak bomba masih menyiasat sama ada kejadian melibatkan kemalangan jiwa. Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut menziarah mangsa kebakaran dan mengumumkan bantuan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada mangsa kebakaran.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.